Tuesday, October 1, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arab Saudi umum bantuan kewangan bulanan untuk Gaza

    RIYADH, 30 SEPT – Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud telah mengumumkan pemberian sokongan kewangan bulanan kepada rakyat Palestin.

    Agensi berita Arab Saudi, SPA melaporkan bahawa sokongan itu bertujuan menangani situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan kawasan sekitarnya, bagi meringankan penderitaan yang disebabkan oleh pendudukan Israel dan pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

    Kerajaan Arab Saudi menegaskan usaha besar yang dilakukan oleh Penjaga Dua Masjid Suci serta Putera Mahkota dan Perdana Menteri dalam berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan permusuhan, melindungi orang awam dan menyalurkan bantuan kemanusiaan yang lebih banyak kepada rakyat Palestin.

    Arab Saudi menekankan komitmen kepimpinan negara itu untuk mencari penyelesaian yang adil dan menyeluruh kepada isu Palestin, bagi memastikan rakyat Palestin memperoleh semua hak sah mereka dan menubuhkan sebuah negara merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.

    Kerajaan itu juga menegaskan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin, yang kekal menjadi kepentingan utama.

    Warga Palestin melihat kemusnahan selepas serangan udara Israel ke atas sebuah perkhemahan yang padat menempatkan penduduk Palestin yang terpaksa berpindah akibat perang di Muwasi, Jalur Gaza, pada 10 September. – AP

    Sejak bermulanya krisis, Kerajaan Arab Saudi telah berusaha sedaya upaya untuk meringankan keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

    Dengan mengetuai jawatankuasa menteri yang dilantik oleh Sidang Kemuncak Luar Biasa bersama Arab-Islam, Kerajaan berjaya mengumpulkan sokongan negara Arab dan Islam yang bersatu bagi perjuangan Palestin.

    Usaha tersebut membuahkan hasil apabila beberapa negara sahabat mengiktiraf Negara Palestin, memperjuangkan keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu serta menyeru penghentian pencerobohan Israel dan penarikan sekatan ke atas Gaza.

    Bantuan itu merupakan sebahagian daripada sokongan berterusan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Palestin bagi tujuan kemanusiaan, bantuan dan pembangunan selama ini.

    Jumlah keseluruhan sokongan telah melebihi AS$5.3 bilion, membuktikan komitmen berterusan Arab Saudi dalam membantu rakyat Palestin. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda