RIYADH, 23 MAC – Raja Arab Saudi, Raja Salman, telah mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara dari senja ke subuh hari ini, dalam usaha untuk mengekang penularan koronavirus COVID-19, yang terbaharu dalam beberapa siri sekatan yang dikenakan.
Perintah berkurung – dari 7 malam sehingga 6 pagi – akan dikenakan selama 21 hari, menurut Agensi Akbar Saudi, memetik satu perintah diraja.
Tindakan tersebut diambil selepas Arab Saudi berkata semalam jumlah kes COVID-19 telah meningkat kepada 511, tertinggi di negara Teluk. Kerajaan setakat ini tidak melaporkan sebarang kes kematian.
Pekerja di sektor kesihatan dan pegawai keselamatan serta tentera akan dikecualikan dari sekatan perintah berkurung, menurut perintah diraja.
Raja Arab Saudi, Raja Salman, mengingatkan pada Khamis tentang perjuangan yang ‘lebih susah’ memerangi virus tersebut, memandangkan kerajaan menghadapi tamparan hebat penutupan disebabkan virus dan kejatuhan harga minyak.

Ekonomi terbesar dunia Arab itu telah menutup pawagam, pusat membeli belah dan restoran, membatalkan penerbangan serta menggantung ibadah umrah sebagai langkah untuk mempertingkat usaha untuk membendung virus tersebut.
Minggu lalu, kerajaan telah melancarkan langkah rangsangan ekonomi dengan memperuntukkan 120 bilion riyals untuk membantu perniagaan dan berkata ia merancang untuk menambah pinjaman kepada 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Arab Saudi turut menggantung solat di dalam semua masjid kecuali dua tempat paling suci di Mekah dan Madinah, satu langkah sensitif bagi sebuah negara Islam konservatif.
Pengeksport minyak mentah teratas dunia itu menghadapi masalah harga minyak yang menurun, sumber pendapatan utama negara, yang telah merosot kepada kira-kira AS$25 setong untuk tahap paling rendah di sebalik permintaan lembap disebabkan virus dan perang harga dengan Rusia.
Lebih daripada 1,300 jangkitan koronavirus telah dikesan di rantau Teluk setakat ini. – AFP