RIYADH, 16 OKT – Arab Saudi mengumumkan satu projek pembangunan besar berhampiran Masjidil Haram di Mekah yang akan menyediakan 900,000 ruang solat tambahan serta kemudahan kediaman dan hospitaliti bagi jutaan jemaah yang berkunjung setiap tahun.
Projek Gerbang Raja Salman, yang merangkumi beberapa bangunan pencakar langit berhampiran tapak suci umat Islam itu, digambarkan sebagai “destinasi bercampur guna bersepadu” yang menggabungkan warisan seni bina Mekah dengan gaya hidup moden bertaraf dunia, menurut Agensi Akhbar Saudi (SPA) kelmarin.
Projek tersebut meliputi kawasan seluas 12 juta meter persegi (kira-kira 3,000 ekar) dengan ruang solat tertutup dan terbuka, dan menjadi sebahagian daripada siri pembangunan utama yang bertujuan mengubah landskap ekonomi negara pengeksport minyak terbesar dunia itu.
Kerajaan Arab Saudi turut memperuntukkan berbilion dolar bagi projek Masar, yang akan menyediakan sekurang-kurangnya 40,000 bilik hotel baharu di Mekah, tempat umat Islam di seluruh dunia menunaikan solat setiap hari.
Walaupun jemaah mengunjungi Mekah sepanjang tahun, jumlah kedatangan memuncak semasa musim haji tahunan yang mencatat kehadiran 1.6 juta orang pada Jun lalu. Hasil daripada aktiviti jemaah haji dan umrah dianggarkan mencecah AS$12 bilion pada 2019.
Peningkatan jumlah jemaah merupakan salah satu komponen utama inisiatif Wawasan 2030 oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pemerintah de facto Arab Saudi, yang bertujuan mempelbagaikan ekonomi negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap hasil minyak.
Projek baharu itu diumumkan hanya beberapa bulan selepas siapnya kerja pengembangan Masjidil Haram yang meningkatkan kapasiti kepada dua juta jemaah serta memperluas kawasan dataran sekelilingnya. – AFP


