Arab Saudi wajibkan jemaah haji divaksin

RIYADH, 3 MAC – Kerajaan Arab Saudi mewajibkan bakal jemaah haji pada tahun ini perlu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi mengerjakan rukun Islam ke-5 itu.

Menurut laporan portal berita Arab News, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiqal-Rabiah menekankan vaksin COVID-19 adalah wajib dan sebahagian daripada syarat utama untuk semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadah itu pada Julai tahun ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan haji, namun berkata suntikan vaksin adalah syarat utama.

Tahun lalu, Arab Saudi membenarkan ibadah haji tetapi hanya untuk penduduk Arab Saudi dan pemastautin di negara itu, dengan hanya 1,000 jemaah haji dibenarkan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Haji adalah satu daripada lima Rukun Islam dan umat Islam yang berkemampuan dari segi fizikal dan kewangan dituntut menunaikannya sekali seumur hidup.

Sekurang-kurangnya 2.5 juta umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadah haji setiap tahun. – Agensi

Gambar fail jemaah haji mengerjakan ibadah haji ketika pandemik pada tahun lalu. Arab Saudi mewajibkan bakal jemaah haji tahun ini untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mengerjakan ibadah itu, kelmarin. – Xinhua