Saturday, November 16, 2024
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arah kosongkan empangan demi telefon, pegawai digantung tugas

    NEW DELHI, 28 MEI – Seorang pegawai kerajaan di India telah digantung kerja selepas dia mengarahkan empangan air dikosongkan supaya dia boleh mendapatkan semula telefon pintarnya, yang tercicir semasa mengambil swafoto.

    Telefon pintar Samsung milik pegawai pemeriksa makanan, Rajesh Vishwas terjatuh dalam empangan Kherkatta di negeri tengah India Chhattisgarh minggu lalu, lapor akhbar The Times of India.

    Vishwas mula-mula meminta juruselam tempatan untuk melompat ke dalam empangan bagi mencari peranti itu dengan mendakwa ia mengandungi data sensitif kerajaan.

    Tetapi selepas usaha awal untuk mendapatkan telefon pintarnya gagal, dia meminta empangan tersebut dikosongkan menggunakan pam diesel.

    Dalam tempoh tiga hari berikutnya, lebih 2 juta liter air dipam keluar dari empangan, yang cukup untuk mengairi sekurang-kurangnya 1,500 ekar tanah semasa musim panas yang terik di India, lapor media tempatan.

    Dalam video yang tular di media sosial, Vishwas dilihat sedang duduk di bawah payung merah ketika pam diesel berfungsi mengeluarkan air.

    Vishwas memberitahu media tempatan bahawa air di dalam taku-ngan itu tidak boleh digunakan untuk pengairan dan dia telah mendapat kebenaran daripada pegawai kanan untuk mengosongkannya.

    Telefon pintar itu akhirnya diambil tetapi tidak dapat dihidupkan kerana ia dimasuki air.
    Pihak berkuasa kemudian menggantung Vishwas selepas dia dikritik secara meluas kerana membazir sumber air.

    India adalah salah satu negara yang paling kekurangan air dan suhu yang melampau telah menyebabkan kekurangan air yang teruk, menyebabkan kerugian tanaman, kebakaran hutan dan bekalan elektrik terputus. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda