Tuesday, September 10, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aramco lapor pendapatan bersih AS$29.07 bilion pada suku kedua

    RIYADH, 6 OGOS – Syarikat gergasi minyak Saudi, Aramco, hari ini melaporkan pendapatan bersih sebanyak AS$29.07 bilion bagi suku kedua tahun ini, mencatatkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan pengeluaran yang masih lembap.

    Penurunan sebanyak 3.4 peratus itu terutamanya mencerminkan kesan jualan jumlah minyak mentah yang lebih rendah dan margin penapisan yang semakin lemah, kata syarikat itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di bursa saham Saudi.

    Arab Saudi, pengeksport minyak mentah terbesar dunia, kini menghasilkan kira-kira sembilan juta tong sehari (bpd), jauh di bawah kapasiti 12 juta bpd.

    Pengeluaran purata adalah 8.8 juta bpd pada bulan Jun, menurut firma pelaburan yang berpangkalan di Riyadh, Jadwa Investment, minggu lalu.

    Angka yang agak rendah itu mencerminkan pengurangan pengeluaran sejak Oktober 2022, apabila blok pengeluar minyak OPEC+ yang diketuai Riyadh dan Moscow mengumumkan akan mengurangkan pengeluaran sebanyak dua juta bpd untuk merangsang harga.

    Pada April 2023, beberapa anggota OPEC+ mengumumkan mereka akan mengurangkan pengeluaran lebih daripada satu juta bpd, dan pada Jun 2023, Riyadh mengumumkan pengurangan tambahan secara sukarela sebanyak satu juta bpd.

    “Pengeluaran akan kekal pada paras yang sama sehingga sekurang-kurangnya Oktober,” menurut Jadwa, yang menambah bahawa perjanjian OPEC+ yang diumumkan pada Jun 2024 akan membenarkan ‘peningkatan bulanan secara beransur-ansur’.

    Aramco adalah penjana ekonomi Saudi dan sumber utama pendapatan bagi agenda reformasi Wawasan 2030 Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang menyasarkan masa depan yang makmur selepas era kegemilangan minyak untuk negara Teluk tersebut. – AFP

    Gambar fail bertarikh 21 Mac 2021 menunjukkan tangki simpanan di loji Jeddah Utara, kemudahan minyak Aramco, di Jeddah, Arab Saudi. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda