Friday, September 20, 2024
34.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aramco sasar operasi runcit di Asia Tenggara

    DHAHRAN, ARAB SAUDI, 28 DIS – Saudi Aramco (Aramco), salah satu syarikat tenaga dan bahan kimia bersepadu terbesar dunia, berhasrat mengembangkan aktiviti hilirannya di Malaysia sejajar dengan sasaran untuk menjadikan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor sebagai hab terbesar di Asia Tenggara.

    Ketika berkongsi hasrat itu, Presiden (Hiliran) Aramco, Mohammed Y. Al Qahtani berkata selain teruja dengan projek di Pengerang, syarikat berkenaan juga berharap untuk tidak hanya kekal beroperasi tetapi turut membabitkan potensi pengembangannya pada masa depan.

    Ditanya sama ada syarikat yang telah bertapak selama 90 tahun itu turut mempertimbangkan operasi peruncitan di Asia Tenggara, beliau berkata aspek berkenaan sememangnya sedang diusahakan oleh Aramco di peringkat global.

    “Kami sentiasa meneliti aset-aset yang ada untuk melihat sebarang potensi bagi tujuan peningkatan, pengembangan dan paling penting usaha bagi menukar cecair kepada bahan kimia.

    “Itulah perkara yang kami nilai dari segi prospek untuk masa depan,” katanya dalam temu bual dengan BERNAMA dan wakil media terpilih dari China, Korea Selatan dan Jepun, di ibu pejabat Aramco di sini.

    Dalam pada itu, mengulas tindakan Aramco mengambil alih 100 peratus ekuiti Esmax, peruncit bahan api dan pelincir hiliran terkemuka Chile, Mohammed menyifatkannya sebahagian daripada strategi syarikat untuk mengembangkan perniagaan runcit, pelincir dan perdagangan di serata dunia. – Bernama

    Saudi Aramco (Aramco), salah satu syarikat tenaga dan bahan kimia bersepadu terbesar dunia, berhasrat mengembangkan aktiviti hilirannya di Malaysia sejajar dengan sasaran untuk menjadikan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor sebagai hab terbesar di Asia Tenggara. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda