Friday, February 7, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arang batu kekal sumber tenaga sepanjang hayat Indonesia

    SURALAYA – Sania duduk di hadapan rumahnya di Indonesia, kurang satu kilometer dari kompleks arang batu terbesar di Asia Tenggara, di mana cerobong mengepam asap kelabu gelap dan bau kimia keluar ke udara.

    Ketika negara-negara sedang berkumpul di Dubai untuk perbincangan iklim yang kritikal, masa depan pencemaran bahan api fosil arang batu akan menjadi agenda utama.

    Bagi sesetengah orang, era arang batu kini jelas sudah berakhir dan Indonesia telah komited untuk beralih daripada bahan api itu meskipun menjadi pengeksport utama dunia.

    Namun ia telah menambah dua lagi unit kepada loji tenaga Suralaya, di wilayah Banten bersebelahan ibu negara Jakarta dan mempunyai rancangan untuk membina loji baharu bagi menjana industri nikel – kunci kepada ledakan kenderaan elektrik.

    Sania, seorang suri rumah berusia 37 tahun, amat takut dengan penambahan loji Suralaya. “Saya sangat bimbang. Ia sangat menakutkan. Saya mahu berpindah jika boleh kerana rumah kami terlalu dekat dengan loji itu,” katanya.

    Hendra Sinadia semasa ditemu bual. – AFP
    Sania yang tinggal berhampiran dengan kompleks arang batu terbesar berasa takut dan bimbang akan kesan pencemaran dari loji arang batu. – AFP
    Pembinaan baharu loji tenaga arang batu Suralaya di Cilegon, wilayah Banten, Indonesia. – AFP
    Pemandangan arang batu Indonesia yang telah terhasil selepas diproses. – AFP

    “Jika unit mula beroperasi, habuk di sini akan menjadi lebih teruk. Saya mengelap lantai dua hingga tiga kali sehari. Bunyi bising itu membuatkan saya sakit kepala. Baunya sangat menjengkelkan.”

    Ia adalah kisah yang berulang di seluruh Indonesia, di mana janji kerajaan untuk menamatkan pembinaan loji arang batu baharu telah dihambat oleh kelemahan yang membenarkan penambahan sedia ada di Suralaya itu diteruskan.

    Janji kerajaan juga termasuk mengecualikan apa yang dipanggil arang batu industri iaitu loji yang menjanakan industri.

    Indonesia adalah salah satu pengeluar arang batu terbesar di dunia dan banyak bergantung kepada bahan api untuk penjanaan kuasa. Tetapi ia juga merupakan penerima Perkongsian Peralihan Tenaga yang Adil (JETP), yang berjanji untuk mengeluarkan AS$20 bilion untuk memisahkan negara daripada arang batu.

    Di bawah perjanjian itu, Indonesia meningkatkan matlamat peralihan tenaganya, menjanjikan pelepasan sektor tenaga sifar bersih menjelang 2050 dan menambah bahagian tenaga elektrik yang dihasilkan daripada sumber boleh diperbaharui kepada 44 peratus menjelang 2030.

    Tenaga suria dan angin masing-masing pada masa ini menyumbang kurang satu peratus daripada gabungan tenaga Indonesia.

    Pengiraan JETP bagaimanapun tidak mengambil kira loji tenaga perindustrian, dengan lebih daripada 13 gigawatt (GW) telah dipasang dan 18 GW lagi dirancang pada 2022, menurut Institut Reformasi Perkhidmatan Penting (IESR), pusat pemikiran tenaga berpangkalan di Jakarta.

    Indonesia memandang loji berkenaan penting dalam peranannya yang semakin meningkat dalam revolusi kenderaan elektrik, menjana kemudahan yang memproses nikel untuk bateri.

    Malah ia telah mencadangkan menetapkan loji menggunakan sumber arang batu yang menjana aktiviti industri EV sebagai ‘hijau’.

    “Timbulnya isu utama yang membelenggu stesen tenaga arang batu industri di Indonesia, yang berisiko menjejas atau memperlahankan proses JETP itu,” kata Leo Roberts, seorang penganalisis di pusat pemikiran iklim E3G.

    Ia boleh membawa maksud perjanjian itu bukan ‘peralihan ekonomi keseluruhan yang berkesan untuk Indonesia,’ katanya.

    Pengarah Eksekutif Persatuan Perlombongan Arang Batu Indonesia, Hendra Sinadia berkata usaha untuk negara beralih daripada bahan api fosil adalah tidak bijak dan beberapa penjanaan tenaga menggunakan arang batu masih diperlukan.

    “Arang batu adalah kekayaan semula jadi Indonesia. Indonesia mempunyai potensi besar untuk arang batu,” katanya.

    “Arang batu kekal sebagai sumber tenaga yang paling dipercayai untuk memacu pembangunan relau lebur, membolehkan kami menjadi salah satu pemain utama dalam ekosistem kenderaan elektrik.”

    Menutup loji tenaga yang sedia ada menjadi lebih rumit disebabkan kebanyakan kemudahan adalah agak baharu di Indonesia.

    Ia menjadikan kilang tersebut susah untuk ditutup disebabkan hasil pulangan ke atas pelaburan yang berpotensi diperoleh selama bertahun-tahun.

    “Saya percaya memilih untuk berhenti secara berperingkat-peringkat bukanlah keputusan yang bijak,” kata Sinadia.

    “Arang batu kekal sebagai sumber tenaga yang paling murah, boleh dipercayai dan paling mudah diakses.”

    Namun aktivis mengatakan analisis mengabaikan implikasi pemanasan bumi akibat penggunaan arang batu tanpa had serta kesan kesihatan yang serius.

    Pemodelan data oleh Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih menunjukkan pelepasan daripada loji janakuasa arang batu negara pada 2022 bertanggungjawab atas 10,500 kematian.

    “Label ‘murah’ ini tidak mengambil kira kos luaran akibat kerosakan alam sekitar dan kesan ke atas kesihatan,” kata penyelidik di Greenpeace, Bondan Andriyanu.

    Nelayan, Hawasi, 55, juga menyalahkan loji Suralaya atas pencemaran di luar pesisir yang menyebabkan mata pencariannya berkurangan.

    “Tiada lagi tangkapan di perairan berhampiran pantai. Kami perlu belayar jauh,” katanya.

    “Kami telah dibelenggu oleh pencemaran dari semua arah.”

    IESR berkata Indonesia perlu menamatkan sembilan penghasilan arang batu GW menjelang 2030 untuk memenuhi komitmennya di bawah JETP.

    Tetapi kajian Kementerian Tenaga yang dikeluarkan pada bulan September mencadangkan untuk menutup lebih separuh daripada jumlah itu menjelang 2030.

    Ketua Eksekutif PLN, Darmawan Prasodjo mengumumkan rancangan untuk membina tambahan 31.6 GW kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2033.
    Namun dijangka memenuhi permintaan yang semakin meningkat, dengan kebanyakan loji arang batu sedia ada dibiarkan beroperasi sehingga akhir hayatnya.

    “Kami akan melakukan fasa pengurangan arang batu, bukan fasa pemberhentian secara berperingkat-peringkat,” kata Prasodjo kepada Parlimen. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda