Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Arbisyam FC berjaya memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan Liga Futsal Brunei 2023 (BFL 2023) selepas menang tipis ke atas Qahar FC dengan jaringan 2-1 di Dewan Serbaguna, Bolkiah Garison, Kementerian Pertahanan.
Kemenangan penuh berharga itu membantu meletakkan Arbisyam FC berada di kedudukan keempat dengan kutipan 12 mata hasil daripada empat kemenangan.
“Pemain berjaya menunjukkan permainan yang sangat positif dengan melakukan perubahan-perubahan dalam taktik serangan dan pertahanan. Sekalipun masih ada kekurangan namun kesungguhan pemain berjaya menutup kelemahan dan mampu menggenggam mata penuh,” jelas ketua pasukan Arbisyam FC, Abdul Mansyor Jalillah Haji Ishak.
Beliau yakin rakan-rakan sepasukan akan terus menumpukan persiapan untuk perlawanan seterusnya yang sudah tentu akan berdepan dengan berbagai ujian sepanjang kempen BFL musim ini.
Arbisyam FC terlebih dahulu merobek gawang Qahar FT menerusi gerakan menarik ketua pasukan pada minit ke-5 perlawanan.

Ketinggalan jaringan, Qahar FT tidak berputus harapan mencari ruang untuk mengikat jaringan namun pertahanan Arbisyam FC terlalu ampuh.
Usaha Qahar FC akhirnya membuahkan hasil selepas Mohammad Noredry Effandy Safian Safuan Tullah bijak menggunakan peluang untuk menerjah ke gawang Arbisyam pada minit ke-16.
Bersambung pada babak kedua, pertemuan semakin menarik malah beberapa asakan kedua pasukan mencemaskan barisan pengurusan masing-masing.
Mohammad Aznil bin Mohammad Ali membantu Arbisyam membawa pulang mata penuh selepas bijak menyempurnakan hantaran bola lintang hasil umpanan Abdul Mansyor pada minit ke-36 sekali gus menambah koleksi kemenangan buat pasukan Arbisyam.