Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arbisyam FC, Shah United cari mata sulung BEFL

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Pertemuan antara Arbisyam FC dan Shah United FC dijangka menjanjikan aksi menarik apabila kedua-dua pasukan bakal berentap bagi mengutip mata sulung dalam saingan Brunei Elite Futsal League (BEFL) 2024/25 yang akan diadakan di Dewan Serba guna, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan selepas tewas pada perlawanan pembukaan. \Arbisyam FC kalah tipis 1-2 kepada Kota Rangers BK FC, manakala Shah United FC tumpas 4-8 di tangan Almerez Hitune FC.

    Ketua jurulatih Arbisyam FC, Khairulazim bin Abdullah, menegaskan kekalahan pada perlawanan pertama tidak mencerminkan potensi sebenar pasukannya.

    “Kekalahan sebelum ini bukanlah pengukur sebenar kemampuan pasukan kami.

    “Setiap perlawanan berbeza, dan kami telah belajar daripada kesilapan lalu,” katanya.

    Antara aksi para pemain semasa perlawanan sulung mereka. – GAMBAR SERAHAN LIGA BOLA SEPAK YAKIN
    GAMBAR SERAHAN LIGA BOLA SEPAK YAKIN
    GAMBAR SERAHAN LIGA BOLA SEPAK YAKIN

    Khairulazim menambah bahawa strategi pasukan kekal sama, tetapi kali ini lebih fokus diberikan kepada pertahanan.

    “Fokus kami adalah mengekalkan disiplin dan memanfaatkan setiap peluang. Kami yakin pemain muda dan baharu dalam pasukan bersedia memberi saingan sengit,” jelasnya.

    Sementara itu, Ketua Jurulatih Shah United FC, Pengiran Asrul Asdynee bin Pengiran Shahdon, mengakui pasukannya melakukan banyak kesilapan pada perlawanan pertama dan gagal memanfaatkan peluang yang ada.

    “Kami akan membariskan pemain muda untuk meningkatkan kecepatan permainan dan ketajaman serangan pada perlawanan esok,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan, kelmarin.

    Beliau turut memuji perkembangan gandingan pemain tempatan dan import yang semakin serasi serta memperlihatkan keserasian yang semakin mantap.

    Dalam saingan pembukaan, pasukan Kasuka Ar Rawda, Almerez Hitune FC, MS ABDB dan Kota Rangers BK FC berjaya mengutip kemenangan masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda