Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Untuk meningkatkan kesedaran mengenai ASEAN dan menggalakkan semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan perasmian Arca ASEAN iaitu Laluan ASEAN, dan pelancaran Projek ASEAN Walk yang diterajui oleh para belia di Taman Persiaran Damuan, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Taman Arca ASEAN, sebuah projek di bawah Jawatankuasa Kecil Kebudayaan, Jawatankuasa ASEAN mengenai Kebudayaan dan Penerangan (ASEAN-COCI) Brunei Darussalam, dan projek ASEAN Walk adalah antara deliverable Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) semasa Negara Brunei Darussalam mempengerusikan ASEAN pada 2021.
Projek Arca ASEAN merupakan kesinambungan projek Arca ASEAN pada 1986 yang menempatkan enam arca dari negara anggota ASEAN pada waktu itu iaitu Negara Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand; dan kini penambahan empat arca dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.
Dengan penambahan tersebut, Brunei Darussalam kini menjadi ahli ASEAN pertama yang mempunyai arca ASEAN yang lengkap, dengan taman arca berkenaan juga dinamakan semula sebagai Laluan ASEAN (ASEAN Walk).
Selaras ini, projek Laluan ASEAN dilambangkan dengan sesi berjalan kaki menyusuri di sepanjang taman arca atau Laluan ASEAN, yang diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Projek juga dihasratkan untuk menyerlahkan hasil pencapaian melalui kerjasama dan sumbangan kepada masyarakat dan rakyat di kesemua negara anggota ASEAN.
Pelancaran projek berkenaan akan diikuti dengan sesi berjalan kaki yang sama, yang akan diteruskan ke negara-negara ASEAN lain.
Majlis turut dihadiri oleh duta-duta besar dan pesuruhjaya tinggi negara-negara anggota ASEAN dan Timor Leste ke Negara Brunei Darussalam, setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua delegasi dan delegasi dari negara-negara anggota ASEAN dan Timor Leste, Sekretariat ASEAN serta para pegawai kanan KKBS.


