Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arca hidupan laut diperbuat daripada sampah plastik

    NEW ORLEANS – Arca seni hidupan laut yang besar memenuhi setiap ruang di sekitar Akuarium dan Zoo New Orleans, semuanya diperbuat daripada sampah plastik yang terdampar di pesisir pantai. Antara yang menarik perhatian ialah arca seekor ikan jerung putih yang besar diperbuat daripada penutup botol dan alat-alat permainan pantai serta seekor ubur-ubur yang diperbuat daripada botol plastik yang sudah digunting.

    Karya seni itu merupakan sebahagian daripada projek yang dikenali sebagai Washed Ashore: Art to Save The Sea, diilhamkan oleh Angela Haseltine Pozzi yang mula menghasilkan arca tersebut selepas melihat banyak plastik berselerakan di kawasan pantai di selatan Oregon. Ketika itu, Pozzi berada di bandar Bandon, di mana datuk dan neneknya bermastautin, berkabung selepas kematian suaminya. “Saya sangat kenal pantai ini, saya selalu pergi ke laut untuk mencari ketenangan namun saya mendapati laut kita sekarang ini memerlukan penyembuhan,” jelasnya.

    Dia mahu mempamerkan ciptaannya itu untuk membuat orang ramai menyedari betapa banyaknya plastik telah masuk ke dalam laut dan memulakan tindakan berdasarkan pengetahuan itu. Tanda-tanda yang dicipta di setiap bahagian arca itu cuba menyampaikan maklumat yang mudah bagi mengurangkan masalah penggunaan plastik seperti tidak menggunakan straw plastik, menggunakan kembali botol plastik dan mengamalkan sikap memutik sampah. “Setiap tong sampah yang diambil dan dilupuskan dengan betul boleh menjamin keselamatan persekitaran dan juga haiwan-haiwan di sekeliling,” barisan kata-kata yang terdapat pada tanda ‘Greta The Great White Shark’.

    Cantik namun menyeramkan

    Matlamat utama Pozzi adalah untuk menghasilkan seni yang cantik dan sedikit menyeramkan. Sekitar 10,000 sukarelawan dari Oregon membantu menjayakan projek Pozzi itu yang bermula pada tahun 2010. Sukarelawan membantu mengumpul, menyediakan dan mencipta sampah pantai kepada satu arca seni yang menakjubkan. Kumpulan sukarelawan ini turut menemui tab mandi di kawasan pantai tersebut.

    Antara yang menarik perhatian ialah arca yang menyerupai seekor ubur-ubur yang diperbuat daripada botol plastik yang sudah digunting. – AP
    Matlamat utama Pozzi adalah untuk menghasilkan seni yang cantik dan sedikit menyeramkan. – AP

    Dia kini mempunyai lebih daripada 70 buah arca seni dalam tiga pameran yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat dan mendapat beberapa permintaan dari luar negara. Hasil kerja seninya itu dipamerkan di zoo, akuarium dan kebun botani malah dia juga mempunyai pameran tetap di Muzium Sejarah Alam Smithsonian dan sebuah galeri di Bandon.

    Akuarium Audubon di Amerika Syarikat kini mempamerkan enam arca hasil ciptaanya, sementara salah satu pufinnya telah dipamerkan di Zoo Audubon dan artis seni itu akan menambah lagi arca-arca seni itu di kedua-dua lokasi pada bulan Oktober ini nanti.

    Sebagai tambahan kepada arca ikan jerung dan ubur-ubur itu, terdapat juga laluan pejalan kaki yang mempamerkan seperti badan ikan paus dan tergantung penutup baldi, botol, boya dan juga perangkap umpan. Laluan pejalan kaki yang menyerupai kehidupan marin itu diperbuat daripada batang pancing dan rumpai-rumpai laut yang lembut bergerak seperti sebuah ‘Muzikal Rumpai Laut’. Daun yang panjang itu turut dilekatkan penutup botol logam dan plastik digantung sehingga jika terkena angin, ia akan bergerak dan mengeluarkan bunyi.

    Robert dan Lauryn Geosits dari Mandeville, Louisiana berkunjung ke pameran itu bersama tiga orang anaknya. “Ini merupakan satu idea yang hebat bagi orang ramai untuk menvisualkan berapa banyak sampah di kawasan laut,” kata Lauryn Geosits.

    Suaminya membaca maklumat yang terdapat pada tanda-tanda di setiap arca sementara anak damit mereka sedang tidur di dalam stroller manakala anak mereka yang lain, Chelsea dan Preston berlari-lari dan mencari arca ikan jerung yang dipenuhi dengan permainan kanak-kanak seperti bumper kereta mainan, permainan pantai dan banyak lagi.

    Pozzi mahu mempamerkan ciptaannya itu untuk membuat orang ramai menyedari betapa banyaknya plastik telah masuk ke dalam laut dan memulakan tindakan berdasarkan pengetahuan itu. – AP

    Pelbagai benda yang ditemui

    Ketika ditanya mengenai perkakas yang pelik digunakannya, Pozzi berkata apabila anda sedang memproses lebih daripada 21 tan serpihan menjadi 70 karya seni, anda pasti akan melihat dan menemui pelbagai benda. “Salah satu yang paling memeranjatkan ialah botol peluntur yang ada tanda bekas gigitan ikan,” kata Pozzi.

    Arca seekor ikan akan dibuat dengan menggunakan plastik yang telah digigit oleh ikan, merupakan arca yang akan ditambah dalam koleksi pameran pada bulan Oktober ini. Kebanyakan arca yang didatangkan ke New Orleans pada musim luruh ini akan dipamerkan di Shedd Aquarium di Chicago, termasuk memerang sungai, kuda laut dan ikan badut. “Kami sangat sedih melihat ia pergi, disebabkan ia telah berjaya mempengaruhi,” kata Tousnetta Qaiyim (KY-im), naib presiden untuk perancangan dan reka bentuk di Shedd.

    Pameran itu telah menunjukkan satu tindak balas yang melebihi dari ramalan, baik dari segi jumlah pengunjung malah kebanyakan pengunjung memuat naik setiap gambar dan memaparkannya di media sosial sekali gus berperanan untuk memberikan kesedaran.

    “Kebanyakan orang ramai bercakap mengenai plastik dan Great Lakes serta saluran air dan bagaimana untuk menanganinya sebagaimana yang kita harapkan tetapi kami belum pasti bila ia akan berlaku,” katanya.

    Di New Orleans, arca-arca ini dipamerkan dengan lokasi yang berlainan di muzium tersebut dan kekal berada di situ sehinggalah bulan April. “Lihat itu, ubur-ubur,” jerit Elliot Harold dari Chalmette ketika dia menghampiri tangga ciptaan Pozzi. “Arca itu merupakan salah satu kegemarannya,” kata neneknya, Gera Mendel. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda