Monday, December 23, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arca kreatif daripada bongkah Lego

    BUDAPEST – Untuk membina struktur Lego gergasi yang biasanya memerlukan ratusan ribu bongkah atau blok, artis Hungary Balazs Doczy terlebih dahulu mesti menyelesaikan ‘cabaran kejuruteraan’ utama.

    “Setiap struktur mempunyai titik kelemahan. Sebaik sahaja ia diselesaikan, kerja selebihnya adalah mudah,” beritahu lelaki berusia 48 tahun itu kepada AFP.

    Dia memerlukan 90 pembantu untuk mencipta salah satu karya terbaharunya – trem Lego bersaiz sebenar yang terdiri daripada 1.8 juta keping bongkah.

    Bersama-sama mereka meluangkan masa kira-kira 6,800 jam untuk memasang projek paling bercita-cita tinggi Doczy yang kini dipamerkan di dataran yang sibuk di tengah Budapest.

    Trem Lego sepanjang 11 meter – yang disifatkan oleh syarikat pengangkutan Budapest dan pejabat pelancongan negara sebagai ‘pengangkutan awam dan kreativiti’ – telah menarik ramai orang.

    Model Lego Gereja St Stephen Budapest dipaparkan dalam Rekod Dunia Guinness, apabila anggota sukarelawan membina menara Lego tertinggi dunia pada 2014. – AFP
    Orang ramai berjalan di depan patung singa gergasi Lego oleh Doczy, replika patung singa jambatan paling tua di Hungary, Jambatan Chain di Budapest. – AFP
    Pengunjung melihat trem yang dibina daripada bongkah Lego klasik oleh Doczy di Dataran Deak Ferenc di pusat bandar Budapest. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    “Kami tidak pernah melihat perkara seperti ini sebelum ini,” kata pelancong Malaysia Lucas Chang, 32, manakala jurulatih tarian, Barbara Rajnai berkata kanak-kanak di tadika anak lelaki dan anak perempuannya menyuruh mereka memeriksanya.

    STRUKTUR MEGA

    Seorang artis Lego profesional dengan pengalaman lebih 10 tahun, Doczy bekerja lebih seperti seorang arkitek daripada pembina, bergantung pada perisian pakar untuk merangka pelan dan hanya memasang bongkah apabila dia perlu menguji reka bentuk tertentu.

    “Pada mulanya, saya membuat lakaran awal sama seperti pelukis, menyusun bongkah antara satu sama lain dalam persekitaran digital,” katanya.

    “Saya menyediakan skala, mengenal pasti elemen yang boleh dikenali dan mengagihkan bahagian lain yang berkaitan dengannya.”

    Untuk diorama rumitnya, seperti model Dataran Pahlawan di Budapest, setiap bongkah perlu meniru butiran tertentu.

    Dalam ‘struktur mega’ seperti trem, ketidaksempurnaan walaupun sepersepuluh milimeter boleh menyebabnya bertindan, membawa kepada ketidakstabilan, katanya.

    “Saya selalu membandingkannya dengan mekanik kuantum dan graviti: dalam skop yang lebih kecil, jirim atau bahan mempunyai ciri berbeza daripada pada skala yang lebih besar,” katanya.

    Oleh itu blok dilekatkan bersama, bingkai dalaman ditambah untuk sokongan tambahan, dan pakar dirujuk untuk memastikan integriti struktur.

    Doczy juga menambah beberapa plat asas di sisinya untuk membolehkan orang ramai meletakkan bongkah Lego mereka sendiri, yang ‘sentiasa menarik perhatian saya, kerana ia membolehkan sesiapa sahaja untuk mengekspresikan kreativiti mereka dan mengubah arca itu menjadi karya komuniti.’

    Doczy terpesona dengan Lego pada usia awal, memasang bongkah bersama abangnya, walaupun bekalan produk Barat amat kurang di Hungary yang ketika itu merupakan sebuah negara komunis.

    “Kami merayu anak-anak jiran untuk membawa set mereka juga, supaya kami boleh membina struktur yang lebih besar. Kami mempunyai cita-cita ketika itu,” kata Doczy.

    Minat zaman kanak-kanaknya dihidupkan semula beberapa tahun kemudian apabila anak saudaranya terpikat dengan blok berwarna-warni. Apabila dia memandang abangnya, “mata kami bersinar dan kami menyedari bahawa kami harus mula membina semula,” kata Doczy.

    Berpindah balik ke Hungary dari Indonesia – tempat dia mengajar menyelam – dia bersama abangnya menubuhkan perniagaan yang dipanggil ‘Bengkel Bata’ pada 2013 untuk mencipta reka bentuk Lego dan mengatur aktiviti untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

    ‘TERLALU BERHARGA UNTUK DIBUANG’

    Pada tahun 2014, model Lego Doczy Gereja St. Stephen ikonik di Budapest telah dipaparkan dalam percubaan memasuki Rekod Dunia Guinness, apabila sukarelawan membina menara Lego tertinggi di dunia pada masa itu di hadapan gereja.

    Tiga tahun kemudian, dia secara rasmi diiktiraf sebagai ‘profesional Lego bertauliah’ (LCP) oleh syarikat Denmark.

    Gelaran yang diidam-idamkan itu – kini dipegang oleh kira-kira 12 pencipta – dianugerahkan kepada bakat yang ‘mencipta reka bentuk atau corak yang menakjubkan dan inovatif yang membantu melangkaui sempadan kreativiti dan kejuruteraan,” kata jurucakap Lego kepada AFP.

    Faedah istimewa adalah dia dapat berunding dengan LCP lain dan mengakses perisian arca Lego yang membolehkan Doczy memesan ‘daripada 14,000 keping berbeza dalam pengeluaran,’ katanya.

    Tetapi untuk sesetengah projek, dia perlu mencari di pasaran terpakai untuk mencari bongkah khusus.

    Dia bernasib baik, malah bongkah tahun 1970an boleh didapati di sana.

    “Sebagai penyelam, saya tidak pernah melihat bongkah Lego ditarik keluar dari laut,” kata Doczy, yang membahagikan masanya antara Budapest dan pulau Mallorca Sepanyol.

    “Bongkah tersebut terlalu berharga untuk dibuang.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda