NEW YORK, 18 APRIL – Syarikat penerbangan permulaan Archer melancarkan teksi udara bersama United Airlines kelmarin, yang dikatakan membolehkan pengembara bandar New York tiba di lapangan terbang dalam masa 15 minit atau kurang.
Archer membawa versi prototaip pesawat Midnightnya ke Big Apple kelmarin untuk menandakan pengumuman itu.
Tarikh perkhidmatan pesawat itu akan tersedia kepada warga New York di mana ia bakal ditentukan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat, yang masih perlu memperakui pesawat berkuasa elektrik itu.
“Saya tidak fikir sesiapa teruja duduk di dalam kereta selama 90 minit untuk perjalanan sejauh 24 kilometer,” kata Ketua Eksekutif Archer, Adam Goldstein, mengenai trafik jalan raya di New York.
“Pesawat itu seakan-akan mesin masa, membolehkan perjalanan dari Manhattan ke lapangan terbang dalam lima hingga 10 minit, berbanding masa pemanduan biasa selama 90 minit,” katanya.

Bagaimanapun, Archer masih menghadapi beberapa halangan untuk membawa visi tersebut menjadi kenyataan.
Selaras dengan proses pensijilan FAA, syarikat itu sedang mendapatkan kelulusan di Emiriah Arab Bersatu, di mana Archer menyasarkan pelancaran komersial pada suku keempat 2025.
Midnight, yang dilengkapi dengan 12 enjin dan 12 kipas, boleh memuatkan seorang juruterbang dan empat penumpang, serta bagasi.
Goldstein percaya harga pesawat itu suatu hari nanti boleh menjadi berpatuhan dari hari ini, apabila orang ramai mungkin mengembara dengan helikopter sekali seumur hidup mereka. – AFP