LUQUE, 18 DIS – Argentina bakal menjadi tuan rumah bagi Ecuador dalam kempen Kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan pada bulan Mac tahun depan tanpa tonggak penyerang utamanya, Lionel Messi akibat penggantungan.
Undian yang dilakukan kelmarin di CONMEBOL meletakkan Bolivia dalam laluan Argentina bagi pusingan kedua kelayakan. Messi tidak akan beraksi dalam perlawanan tersebut selepas dilayangkan kad merah di perlawanan Copa Amerika.
Brasil juga mendapat perlawanan pembukaan yang selesa, melayani kunjungan dari Bolivia bagi pusingan pertama dan bertemu Peru bagi pusingan kedua.
Perlawanan besar pusingan pertama adalah perlawanan antara Uruguay dan Chile. Superclasico Amerika Selatan pula bakal terjadi pada pusingan keenam apabila Brasil melayan Argentina pada bulan Oktober nanti.
Tarikh dan tempat masih belum ditentukan.
Empat pasukan teratas di Amerika Selatan bakal memasuki Piala Dunia di Qatar 2022. – AP
