Argentina sekat kemenangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Malaysia gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas 2-4 kepada tuan rumah Argentina dalam perlawanan keempat Kumpulan A hoki lelaki lima sebelah Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina pada Rabu (Khamis di Malaysia).

Kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan Malaysia yang telah layak ke suku akhir selepas menang tiga kali berturut-turut dengan membelasah Vanuatu 14-0, Mexico (4-2) dan Zambia (7-2).

Dalam perlawanan menentang Argentina di Youth Olympic Park, Malaysia mendahului menerusi gol padang Muhammad Noor Firdaus Rosdi, pada minit keempat, sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan dengan gol padang Facundo Sarto pada minit ketujuh, menurut laman Facebook Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Malaysia kembali mendahului menerusi gol padang Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit kelapan, tetapi dikejutkan gol padang Argentina yang membolosi gawang Malaysia sebanyak tiga kali, satu gol daripada Facundo Zarate pada minit ke-10 dan dua gol dari Sarto pada minit ke-14 dan ke-18.

Dalam perlawanan lain Kumpulan A, Poland membelasah Vanuatu 15-1 sementara Mexico menewaskan Zambia 6-4.

Malaysia akan menamatkan perlawanan pusingan awal menentang Poland pada Khamis (Jumaat di Malaysia).

Sementara itu pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Thi Anh Thu Vu dari Vietnam 21-12 dan 21-9 dalam perlawanan suku akhir.

Bagaimanapun, Jin Wei yang menjadi pembawa bendera Malaysia pada sukan itu, bakal menghadapi laluan sukar di separuh akhir apabila berhadapan pemain pilihan utama, Phittayaporn Chaiwan dari Thailand, pada Khamis.

Chaiwan menempah tiket ke separuh akhir dengan menewaskan pemain pilihan ketujuh, Vivien Sandorhazi dari Iran 21-9 dan 21-8, pada satu lagi perlawanan suku akhir. – Bernama