BUENOS AIRES, 30 Nov – Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) akan membuat tawaran kepada jurulatih sementara, Lionel Scaloni untuk membimbing pasukan secara sepenuh masa bagi mengharungi kejohanan Copa America di Brazil, tahun depan.
“Adalah penting untuk kami mengetahui apa yang kita semua mahu bagi pasukan kebangsaan. Kami menilai kepada cara Lionel Scaloni bekerja dan seterusnya, kami akan memintanya untuk meneruskan (sebagai pengurus) sehingga Copa America,” kata presiden AFA, Claudio Tapia dalam media sosial.
Scaloni, 40, dinamakan sebagai jurulatih sementara selepas Jorge Sampoli meninggalkan pasukan itu susulan persembahan mengecewakan pada Piala Dunia di Rusia.
Pada saingan berprestij itu, Argentina terkeluar pada pusingan 16 terakhir apabila tumbang kepada pasukan juara, Perancis.
Scaloni adalah bekas pemain pertahanan yang pernah beraksi untuk kelab Lazio, West Ham United dan Deportivo La Coruna.
Pemilihannya menimbulkan sedikit keraguan kerana Scaloni dikatakan tidak mempunyai banyak pengalaman dalam kejurulatihan, biarpun pernah mengambil alih sementara tugas mengemudi pasukan kebangsaan bawah 20 tahun.
Namun, Dia berjaya membuktikan sentuhannya sebagai pengurus apabila berjaya membawa pasukan kebangsaan memenangi empat aksi persahabatan, satu seri dan sekali tewas 0-1 kepada Brazil dalam enam perlawanan setakat ini.
Bagaimanapun kesemua enam perlawanan itu berlangsung tanpa penyertaan Lionel Messi, yang meminta dikecualikan bermain dalam perlawanan antarabangsa sehingga hujung tahun ini. – AFP