BUENOS AIRES, 16 APRIL – Argentina kelmarin telah menerima AS$12 bilion pertama daripada pinjaman baharu bernilai AS$20 bilion hasil perjanjian dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh bank pusat negara itu akan digunakan bagi mengukuhkan rizab mata wang asing.
Negara Amerika Selatan itu telah me-longgarkan kawalan mata wang bagi membolehkan penerimaan kira-kira AS$42 bilion daripada IMF, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Antarabangsa.
Menurut institusi itu, jumlah awal AS$12 bilion itu akan menambah rizab bank pusat kepada hampir AS$37 bilion.
Pada Isnin, mata wang peso telah jatuh berbanding dolar AS selepas kerajaan mengumumkan berakhirnya kawalan mata wang selama enam tahun dan memilih sistem kadar terapung dalam julat antara 1,000 hingga 1,400 peso bagi setiap dolar AS.
Namun kelmarin, kadar itu kekal stabil pada 1,230 peso.

Suntikan kewangan daripada institusi global amat penting untuk mengisi semula rizab asing Argentina yang semakin susut, merangsang pertumbuhan dan menangani inflasi – fokus utama presiden yang menggelar dirinya sebagai ‘anarko-kapitalis’, Javier Milei.
Trend penurunan inflasi bulanan yang bermula sejak September lalu terhenti pada Mac apabila harga meningkat 3.7 peratus, berbanding 2.4 peratus pada Februari.
Bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan, Milei telah memecat puluhan ribu pekerja sektor awam, bagi mengurangkan separuh jumlah kementerian dan membatalkan kenaikan pencen yang diselaraskan dengan inflasi.
Tahun lalu, Argentina mencatat lebihan bajet buat kali pertama dalam tempoh satu dekad, namun kesan kolateral adalah kehilangan kuasa beli, pekerjaan dan perbelanjaan pengguna.
Milei berjanji menjelang pertengahan 2026, ‘masalah inflasi di Argentina akan selesai.’ – AFP