BUENOS AIRES, 26 MAC – Argentina meraikan kelayakan Piala Dunia 2026 mereka dengan membelasah musuh ketat Brazil 4-1 di Buenos Aires kelmarin.
Julian Alvarez, Enzo Fernandez, Alexis Mac Allister dan Giuliano Simeone melakar kemenangan untuk juara dunia itu, yang telah dipastikan mendapat tempat di Piala Dunia selepas Bolivia seri 0-0 dengan Uruguay.
Penyerang Atletico Madrid, Alvarez membuka tirai jaringan selepas hanya enam minit, menyambar bola dari hantaran Thiago Almada dan melakukan penyudah jarak dekat melepasi penjaga gol Brazil, Bento.
Suasana menjadi lebih baik untuk Argentina enam minit kemudian apabila Fernandez dari Chelsea meledak gol kedua tuan rumah selepas empat bek Brazil gagal menghalang hantaran lintang yang rendah.
Dengan Brazil terus digempur Argentina, mereka mendapat peluang pada minit ke-26 selepas kesilapan oleh Cristian Romero menyebabkan Mattheus Cunha mencuri bola dan melepaskan rembatan rendah melepasi Emiliano Martinez untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Tetapi sebarang harapan untuk bangkit semula Brazil makin pudar apabila pada minit ke-37, Almada sekali lagi menjadi mencipta peluang dengan hantaran ke Mac Allister dan seterusnya melepaskan rembatan voli untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Serusnya pada minit ke-71, Giulaino Simeone, anak lelaki Diego Simeone, entah bagaimana meledak ke bumbung jaring dari sudut yang sukar mengesahkan persembahan hebat oleh tuan rumah sekali gus memutuskan perlawanan dengan jaringan 4-1.
Kemenangan itu bermakna Argentina layak ke pusingan akhir tahun depan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dengan baki empat perlawanan. – AFP
