MONTEVIDEO, 8 SEPT – Satu sepakan percuma melencong daripada Lionel Messi membawa juara dunia Argentina memulakan kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan dengan kemenangan 1-0 di tempat sendiri menentang Ecuador, kelmarin.
Sementara itu, Colombia menewaskan Venezuela 1-0, manakala Peru yang bermain dengan 10 pemain berjaya mengikat Paraguay 0-0 dalam proses kelayakan Amerika Selatan untuk Piala Dunia 2026 bermula.
Messi, yang mengetuai Argentina menjuarai Piala Dunia ketiga mereka di Qatar pada Disember, masih belum mengesahkan sama ada dia akan terus bermain untuk pasukan kebangsaannya sehingga 2026, tetapi dia menunjukkan kepentingannya sekali lagi dengan gol pembuka dalam apa yang kelihatan sebagai malam yang mendebarkan bagi pasukan Lionel Scaloni.
Lautaro Martinez memenangi sepakan percuma di kawasan tengah pada minit ke-78, tepat di luar kawasan penalti Ecuador dan Messi menyempurnakan dengan sempurna dengan percubaannya yang tepat untuk menewaskan Hernan Galindez.
Dengan jaringan itu, Messi menyamakan kedudukan sebagai penjaring terbanyak sepajang masa dalam kelayakan Amerika Selatan bersama bekas rakan sepasukan Barcelona, Luis Suarez dari Uruguay, kedua-duanya dengan 29 gol.
Albiceleste telah mendominasi permainan dengan pasukan Ecuador bermain dengan bertahan dan mengehadkan serangan mereka sekali-sekala dengan serangan balas.
Peluang pertama permainan tersedia buat Messi pada minit ke-16 apabila dia ditemui di tepi kotak tetapi melakukan percubaan namun tersasar dari tiang.
Sejurus sebelum rehat, Lautaro Martinez hampir menjaringkan gol apabila dia meluncur untuk menyambut umpanan Rodrigo De Paul namun rembatannya terkena tiang.
Messi mencipta peluang pada minit ke-69 tetapi rembatan rendahnya mudah diselamatkan oleh Galindez. – AFP
