Penyanyi Ari Lasso kini lebih terbuka berkongsi kisah peribadi termasuk hubungan cintanya dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Dearly Joshua.
Memberi bayangan mereka bakal berkahwin, Ari Lasso, 52, bagaimana pun meminta orang ramai untuk tidak terus bercakap tentang hubungan mereka.
“Minta sokongan semua, saya harap perkara ini segera berakhir, biarkan kami meneruskan hidup dengan tenang,” katanya menerusi laman Instagram peribadi miliknya.
Memetik laporan mStar, dalam masa sama penyanyi itu juga memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima kehadiran orang baharu selepas dikhabarkan bekas isterinya juga kini sedang bercinta.
Namun dia dan Vita Dessy enggan kisah romantis itu menjadi bualan kerana tidak mahu menjejaskan kesihatan mental anak-anak mereka.
“Satu masa nanti, jika Tuhan mengizinkan, dia bakal menjadi bapa pengganti kepada anak saya, dan begitu juga sebaliknya, saya bersedia untuk menjadi bapa kepada anak-anak Dearly,” ujarnya.
Katanya lagi, “hubungan antara kami baik sahaja dan biar anak-anak kami membesar secara normal, supaya kesihatan mental mereka tidak terganggu”. – Agensi


