Penyanyi dan pelakon antarabangsa terkenal, Ariana Grande mendedahkan dia menangis beberapa kali semasa sesi mencuba gaun vintaj berusia 73 tahun yang digayakan sempena tayangan perdana Wicked: For Good di London pada Isnin lalu.
Artis berusia 32 tahun itu yang juga calon Anugerah Oscar, sedang menjelajah dunia bagi mempromosikan filem tersebut dan tampil memukau di acara karpet merah di Odeon Luxe Leicester Square dengan mengenakan gaun baldu hitam potongan bahu tunggal yang elegan.
Menariknya, gaun tersebut bukan rekaan baharu. Ia merupakan busana asal dari filem muzikal tahun 1952 bertajuk Lovely to Look At, hasil ciptaan pereka kostum legenda Hollywood, Gilbert Adrian.
Menurut Ariana kepada British Vogue, gaun itu diperoleh dari butik Lily et Cie di Los Angeles, yang menyimpan koleksi busana dari abad ke-20 dan ke-21.
Ariana menyatakan betapa istimewanya peluang untuk memiliki dan mengenakan gaun bersejarah itu. “Untuk kini memilikinya dalam koleksi vintaj peribadi kami dan memakainya di karpet merah ini terasa sangat emosional dan bermakna,” katanya.
Sementara itu, penata gaya peribadinya, Law Roach, 47, turut berkongsi kepada majalah People mengenai persiapan panjang mereka menjelang jelajah promosi berkenaan.
“Berjam-jam sesi mencuba gaun, ada ketawa dan kadang-kadang sumpah seranah manja. Ia banyak melibatkan angan-angan dan imaginasi,” katanya berseloroh dalam temu bual pada 23 Oktober lalu.
Roach turut memuji sikap rendah diri dan rasa terima kasih Ariana terhadap semua pihak yang terlibat dalam pembikinan penampilan tersebut.
Filem Wicked: For Good dijadualkan ditayangkan di pawagam pada 21 November ini. – Agensi


