Bintang pop Amerika Syarikat (AS), Ariana Grande mengumumkan jelajah baharu untuk 2026, lapor PA Media/dpa.
Pemenang Anugerah Grammy berusia 32 tahun itu, yang terkenal dengan lagu-lagu hit seperti Problem, 7 Rings dan Thank U, Next, turut dikenali menerusi lakonannya sebagai Glinda dalam filem adaptasi filem muzikal dua bahagian Wicked.
Jelajah Eternal Sunshine itu dinamakan sempena album studio ketujuhnya yang dikeluarkan oleh Grande pada Mac 2024.
Grande berkongsi berita itu di Instagram pada Khamis dengan hantaran yang memaparkan tarikh jelajah 2026, berserta kapsyen, ‘Jumpa awda tahun depan’.
Pengumuman itu dibuat menjelang tayangan filem Wicked: For Good yang dijangka ditayangkan di pawagam pada November.

Jelajah itu akan bermula pada Jun dan membawa penyanyi pop tersebut ke beberapa lokasi di Amerika Utara termasuk Los Angeles, New York, Boston, Chicago dan Montreal di Kanada, sebelum menutup siri persembahan dengan lima konsert di Arena O2, London pada Ogos.
Bintang Wicked itu turut mengeluarkan versi mewah album Eternal Sunshine bersama filem pendek bertajuk Brighter Days Ahead pada Mac lalu.
Album mewah itu menampilkan lima lagu baharu termasuk Hampstead, Twilight Zone, Warm, Dandelion dan Past Life.
Grande mula dikenali sebagai pelakon Nickelodeon menerusi siri popular Victorious sebelum melancarkan album sulungnya Yours Truly pada 2013.
Tiket bagi jelajah The Eternal Sunshine Tour di Amerika Utara akan mula dijual pada 10 September manakala tiket bagi persembahan di London akan mula dijual pada 18 September. – Bernama

