PARIS, 24 NOV – Roket Ariane 6 milik Agensi Angkasa Eropah (ESA) telah berjaya melaksanakan latihan persiapan, menguji enjinnya sebagai persediaan untuk penerbangan sulung yang dijadualkan pada 2024.
Keputusan akhir ujian penyalaan kelmarin, yang melibatkan penyalaan enjin Vulcain 2.1 dan menjalankannya selama lebih daripada tujuh minit, tidak akan diumumkan sehingga 30 November, sementara menunggu analisis penuh. Tetapi pengeluar ArianeGroup telah menggelar latihan tersebut ‘berjaya dilaksanakan’.
Ujian penyalaan di Spaceport Eropah di Guiana Perancis ‘mensimulasikan urutan pelancaran lengkap dan dengan itu mengesahkan keseluruhan fasa penerbangan peringkat teras Ariane 6’, kata kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif ArianeGroup, Martin Sion memuji pasukan tersebut atas ‘pencapaian industri sebenar’, tetapi menambah bahawa ‘beberapa ujian tambahan’, terutamanya toleransi terhadap kegagalan, diperlukan sebelum roket itu bersedia untuk pelancaran. – AFP