Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arif Aiman, Dos Santos dilepaskan akibat kecederaan

    JOHOR BAHRU, 26 MAC -Dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi dan Endrick Dos Santos, tidak akan membarisi skuad Harimau Malaya bertemu Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Selasa depan.

    Perkara itu disebabkan kedua-dua pemain tersebut dilepaskan dari kem latihan pusat pasukan negara di sini, selepas ujian yang dilakukan mengesahkan mereka mengalami kecederaan.

    “Pegawai dan pasukan perubatan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemainnya, dan telah bersetuju untuk melepaskan Arif Aiman dan Dos Santos dari kem latihan pusat ini, supaya mereka dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik.

    “Dengan ketiadaan Arif Aiman dan Dos Santos, baki 25 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat dan tiada penambahan pemain baharu,” kata Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Kim Pan Gon dalam kenyataan dikeluarkan FAM hari ini.

    Terdahulu, keberadaan dan status Arif Aiman yang beraksi di posisi sayap menjadi misteri, selepas beliau tidak bersama pasukan negara yang menjalani latihan di Pusat Latihan JDT, Padang Mawar di Pasir Gudang malam tadi.

    Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 dan 2022 itu juga tidak berada dalam skuad bimbingan Pan Gon, ketika Malaysia menewaskan Turkmenistan 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Khamis lepas.

    Sementara itu, difahamkan Dos Santos mengalami kecederaan di buku lali selepas pertembungan semasa perlawanan menentang Turkmenistan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda