Friday, December 13, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arif Aiman terima anugerah daripada PFAM

    KUALA LUMPUR, 20 APRIL – Prestasi cemerlang pada awal musim membolehkan pemain sayap sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman bin Mohd Hanapi merangkul Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) edisi Februari-Mac 2023.

    Arif Aiman menerima anugerah itu yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail dalam satu majlis ringkas sebelum sepak mula aksi Liga Super antara PDRM dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kelmarin, demikian menurut kenyataan PFAM hari ini.

    Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 dan 2022 berusia 21 tahun itu yang telah menjaringkan lima gol dalam sembilan perlawanan Liga Super musim ini turut menerima hadiah plak, wang tunai berjumlah RM2,000 dan produk minuman protein.

    Beliau menewaskan empat calon lain iaitu pemain import Sabah, Park Tae Su, rakan sepasukannya di JDT, Fernando Forestieri, Mohamad Faisal Abdul Halim (Selangor) dan penjaga gol PDRM, Ramadhan Hamid dalam proses undian yang dijalankan.

    Ia merupakan gelaran kedua yang diraih Arif Aiman selepas edisi Mac 2021.

    Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM kelolaan PFAM sebagai usaha mengiktiraf para pemain profesional di Malaysia.

    Proses pemilihan pemain dibuat oleh barisan panel terdiri daripada pengamal media yang memilih dan menyenarai pendek lima calon setiap bulan sebelum undian dibuka kepada peminat melalui www.pfam.my selama seminggu. – Bernama

    Arif Aiman (kiri) dikawal pemain Sabah FC, Kwang Min Ko pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda