Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ariff Bahran akhirnya buka mulut

    Tiga bulan merahsiakan perkahwinan, penyanyi Ariff Bahran berkata dia mempunyai sebab tersendiri tidak menghebohkan pernikahannya dengan Amirah Syzwani Ridzuan kepada umum.

    Pemilik nama sebenar Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 23, ini memberitahu, salah satunya disebabkan majlis tersebut diadakan secara kecil-kecilan dan hanya dihadiri keluarga terdekat.

    Katanya lagi, perancangan awal majlis pernikahan itu sepatutnya berlangsung pada Disember tahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Sebenarnya saya dah rancang perkahwinan ini setahun lalu, sepatutnya ia berlangsung pada Disember 2020. Tetapi disebabkan PKP, semua benda terpaksa ditangguhkan.

    “Saya merahsiakan perkahwinan ini bukan sebab tak nak beritahu, tetapi sebab tak mahu menyusahkan pihak rakan-rakan satu industri dan saudara-mara. Lagipun benda ini tiga bulan lepas dan ketika itu tengah dalam keadaan SOP yang sangat ketat disebabkan pandemik.

    Ariff Bahran sudah bergelar sebagai suami kepada Amirah sejak tiga bulan lalu. – Agensi

    “Memang kami akan reveal juga sebab takut timbul fitnah dan nanti orang mengata pula. Jadi sebab itulah saya mengambil keputusan untuk mendedahkan tentang perkahwinan kami pada hari tersebut,” katanya kepada wartawan.

    Berita perkahwinan pasangan ini diumumkan oleh pengacara Ain Edruce dan Nabila Huda ketika malam Anugerah Drama Sangat 2021 yang bersiaran secara langsung baru-baru ini.

    Bercakap lebih lanjut tentang isterinya, Ariff memberitahu bahawa wanita itu bekerja sebagai penerbit rancangan di sebuah saluran televisyen berbayar.

    Menurut Ariff dia dan Amirah, 27, sudah tiga tahun bercinta sebelum membuat keputusan hidup bersama.

    Kata Ariff, detik pengenalan mereka bermula ketika dia menjadi artis jemputan dalam sebuah rancangan masakan terbitan isterinya itu.

    “Kami sudah tiga tahun berkenalan sebenarnya, saya kenal Amira di sebuah program masakan dan ketika itu dia merupakan seorang penerbit rancangan tersebut.”

    Ariff selamat disatukan dengan Amirah, di Jabatan Agama Islam Shah Alam, Selangor pada 3 September lalu. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda