Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aril Pilus promosi semula diri sebagai penari shuffle

    Kebangkitan semula trend tarian shuffle memberi ilham buat penyanyi Aril Pilus untuk tampil dengan sebuah lagu baharu berjudul Tak Sempurna.

    Memetik laporan mStar, sebagai seorang yang pernah aktif dalam seni tarian jalanan ini, Aril atau Khairil Azam Pilus, 38, mahu ia kembali menjadi satu aktiviti bermanfaat kepada anak muda.

    Justeru lagu ini diharapkan dapat memberi semangat untuk mereka yang meminati aktiviti ini untuk serlahkan bakat mereka.

    “Baru-baru ini tular di media sosial di mana trend tarian shuffle kembali diminati, saya dahulunya seorang shuffler dan ada pengikut ramai di dalam serta luar negara.

    “Jadi saya ambil kesempatan ini untuk menghasilkan sebuah karya berentak pop EDM dan berhasrat menghasilkan festival EDM.

    “Lagu ini membawa maksud kebangkitan semula, sentiasa berjalan mara ke hadapan, apabila kita jatuh, bangkitlah semula dan jangan menyerah kalah kerana kita semua tidak sempurna.

    “Walaupun rancak, liriknya lebih memberi motivasi dalam membangkitkan semangat,” katanya.

    Dalam masa sama menurutnya kali ini juga sebagai tanda kemunculan semula dalam indusrti muzik setelah sekian lama tidak merakamkan lagu baharu.

    Mula menjalani sesi rakaman sekitar Julai tahun lalu, Aril turut bekerjasama dengan komposer yang betul faham akan kehendaknya dalam mengetengahkan muzik EDM.

    “Saya anggap lagu ini ibarat kemunculan semula dalam industri muzik. Bukan bagi saya sahaja, malah untuk komuniti tarian shuffle serta penggemar muzik EDM.

    “Tidak ramai yang memahami konsep muzik EDM ini dan yang menjiwainya sahaja akan faham. Saya turut menjemput penyanyi rap tanah air, Nigel Sparks untuk menambah rasa ke dalam karya ini dan hasilnya amat memuaskan hati,” ujarnya.

    Lagu ini merupakan ciptaan bersama komposer Justin Seow dan liriknya ditulis oleh Asyraf Nasir.

    Aril juga mengharapkan lagu ini diterima baik dalam kalangan peminat selain kembali menaikkan namanya sebagai seorang penari shuffle. – Agensi

    Aril Pilus mahu rancakkan kembali tarian shuffle. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda