NIMRUD, IRAQ – Selepas sedekad kumpulan pengganas merosakkan tapak Nimrud yang terkenal, ahli arkeologi telah menyusun semula khazanah purba dengan penuh teliti, selepas hancur menjadi serpihan kecil.
Dahulunya merupakan tempat yang sangat penting bagi empayar Assyria kuno, tapak arkeologi yang disenaraikan oleh UNESCO itu telah dimusnahkan oleh Kumpulan IS selepas mereka menawan sebahagian besar kawasan di Iraq dan negara jiran Syria pada tahun 2014.
Artifak berharga sebelum kedatangan Islam telah dimusnahkan oleh kumpulan tersebut, namun ahli arkeologi yang bekerja di Nimrud tidak gentar dengan tugas berat yang menanti mereka.
“Setiap kali kami menemui dan mencantumkan artifak kembali ke tempat asalnya, ia seakan menemui sesuatu yang baharu,” kata Abdel Ghani Ghadi, seorang pakar berusia 47 tahun yang bekerja di tapak tersebut, kepada AFP.
Lebih daripada 500 artifak telah ditemui musnah di tapak tersebut, yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Mosul, bandar di bahagian utara Iraq di mana Kumpulan IS menubuhkan ibu kota ‘khalifah’ yang mereka isytiharkan sendiri.
Kerja-kerja penggalian yang teliti oleh ahli arkeologi Iraq telah menemukan lebih 35,000 serpihan.
Ahli arkeologi dengan teliti telah menyusun semula timbunan bes, arca dan kepingan hiasan yang menggambarkan makhluk mitos, yang pernah menghiasi istana Raja Assyria, Ashurnasirpal II, kira-kira 3,000 tahun yang lalu.
Dilihat dari atas, kepingan teka-teki itu perlahan-perlahan kembali bercantum. Serpihan yang beberapa tahun lalu merupakan satu artifak yang diletakkan bersebelahan, dilindungi oleh helaian kain hijau.
Sedikit demi sedikit, imej Ashurnasirpal II kelihatan pada satu timbunan bes berserta figura bersayap, berjanggut, berambut keriting dan memakai bunga di pergelangan tangannya. Proses pemulihan ini menghidupkan semula perincian teliti yang diukur pada batu sejak ribuan tahun lalu.
Satu lagi artifak menunjukkan tahanan yang digari dari kawasan-kawasan yang memberontak menentang tentera Assyria.
Arca Lamassu sebahagiannya telah dibina semula – gambaran dewa Assyria dengan kepala manusia, badan lembu atau singa, serta sayap burung – terbaring di sisinya, tidak jauh dari tablet yang mengandungi teks kuneiform kuno. “Arca-arca ini adalah khazanah Mesopotamia,” kata Ghadi.
“Nirmud adalah warisan seluruh manusia, sejarah yang bermula 3,000 tahun lalu.”
Diasaskan pada kurun ke-13 sebelum Masihi dikenali sebagai Kalhu, Nirmud mencapai kemuncaknya pada kurun ke-9 sebelum Masihi dan merupakan ibu kota kedua empayar Assyria.
Video propaganda yang diterbitkan oleh Kumpulan IS pada 2015 menunjukkan pejuangnya memusnahkan monumen-monumen dengan jentolak, merosakkannya dengan cangkul burung atau meletupkannya.
Salah satu monumen yang dirosakkan ialah kuil Nabu iaitu dewa Mesopotamia yang berusia 2,800 tahun.
Kumpulan IS turut memusnahkan tapak lain seperti Muzium Mosul yang pernah terkenal dan Palmyra purba berdekatan di Syria.
Kumpulan tersebut dijatuhkan di Iraq pada 2917, dan projek pemulihan semula di Nirmud bermula setahun kemudian, namun terbantut disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan disambung semula pada 2023.
Mohamed Kassim dari Institut Penyelidikan Akademik di Iraq memberitahu AFP bahawa ‘sehingga kini, ia adalah satu proses pengumpulan, pengklasifikasi dan pengecaman.”
Pertubuhannya bekerja rapat dengan ahli arkeologi Iraq, membantu usaha mereka untuk ‘menyelamatkan’ Nirmud dan memelihara budayanya yang kaya, melalui sesi latihan yang dikendalikan oleh Smithsonian Institution dengan bantuan kewangan dari Amerika Syarikat.
Kassim berkata proses pemuliharaan yang halus akan memerlukan kepakaran di luar Iraq dan ‘sokongan antarabangsa’ disebabkan oleh tahap kemusnahan di Nirmud.
“Antara tapak purba yang paling penting dalam tamadun Mesopotamia,” menurut Kassim, Nimrud adalah bukti zaman kegemilangan “seni dan seni bina tamadun Assyria.”
Tapak itu pertama kali digali oleh ahli arkeologi pada abad ke-19 dan menerima pengiktirafan antarabangsa kerana arca lamassu gergasi yang dibawa ke Eropah untuk dipamerkan di Muzium British di London dan Louvre di Paris.
Artifak lain dari Nimrud telah dipamerkan di Mosul dan ibu kota Iraq, Baghdad.
Tapak itu juga menarik perhatian tokoh-tokoh seperti pengarang British Agatha Christie, yang melawatnya bersama suaminya yang merupakan seorang ahli arkeologi. – AFP