Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Arkib Negara perlu berpandangan lebih jauh dengan melaksanakan pendekatan kontemporari dan inovatif dalam pengurusan sumber-sumber yang dinamik dalam membentuk masa depan.
Antara pendekatan berkenaan adalah dari segi penerapan Maqasid al-Shariah kepada peranan Arkib Negara dalam memelihara warisan budaya.
“Arkib Negara berperanan sebagai penggerak untuk memelihara dan menggalakkan akal atau ilmu, yang dengannya ilmu masa lalu akan terus memberi manfaat dan memperbaiki keadaan masyarakat.”
Penekanan itu dibuat oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Walsafelah dalam ucapannya semasa Seminar Kebangsaan Arkib 2023 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.
Selain itu, ulasnya lagi, Arkib Negara juga boleh dianggap sebagai pemudah cara ke arah mencapai Maqasid sebagai ejen yang mengendali data berkenaan dengan agama, nyawa, termasuk keselamatan, kesihatan dan alam sekitar, masyarakat dan ekonomi sesebuah negara.
Arkib Negara juga perlu bekerjasama dengan institusi lain untuk membangunkan program dan pameran bersama bagi melestarikan warisan budaya negara.
Dr Siti Norkhalbi berkata, “Kerjasama ini akan mengukuhkan impak usaha pemeliharaan budaya dan menyediakan lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk melibatkan diri dengan budaya mereka.”

Ikuti berita lanjut di Media Permata keluaran Rabu.