Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ANBD terima koleksi foto bersejarah Operasi ‘Oboe’

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam telah menyerahkan koleksi foto bersejarah daripada Kempen Ketenteraan Bersekutu 1945, Operasi Oboe, kepada Arkib Negara Brunei Darussalam (ANBD) pada Majlis Penyerahan Gambar sempena Hari Peringatan 2025 yang diadakan di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Penyerahan rasmi koleksi foto berkenaan disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Michael Hoy, kepada ANBD melalui Pemangku Pengarah Muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus.

    Dr Siti Norkhalbi dan Pengiran Haji Rosli bergambar ramai bersama TYT Michael Hoy dan PYT Caryn McClelland. 

    TYT Michael Hoy menekankan bahawa koleksi berkenaan merakamkan detik penting dalam sejarah bersama antara Australia dan Brunei Darussalam.

    Katanya lagi, foto-foto berkenaan memberi gambaran langsung tentang kesan mendalam peperangan dan Operasi Oboe terhadap rakyat tempatan serta anggota tentera Australia.

    “Melalui penyerahan ini, Australia berbesar hati dapat menyumbang kepada usaha Brunei dalam memelihara dan memahami sejarahnya,” jelas beliau.

    Beliau turut mengimbas kembali sejarah Operasi Oboe yang menyaksikan lebih 75,000 anggota tentera Australia mendarat di Borneo pada 1945 dan disokong oleh 250 kapal tentera laut dari Australia dan Amerika Syarikat (AS) serta pasukan khas dari Australia dan United Kingdom.

    Lebih 30,000 anggota tentera Australia mendarat di Pantai Muara dan Labuan pada 10 Jun 1945 sebelum mara ke Bandar Brunei, Kuala Belait dan Limbang. Dalam masa tujuh hari, mereka berjaya menamatkan tiga tahun penjajahan perang bagi rakyat Brunei.

    Gambar atas & bawah: Pengiran Haji Rosli dan Dr Siti Norkhalbi diterangkan mengenai koleksi foto bersejarah Operasi Oboe oleh TYT Michael Hoy. 

    Namun, katanya, operasi itu turut mencatatkan pengorbanan jiwa apabila 127 anggota Australia dan 42 anggota AS gugur dalam usaha pembebasan Brunei dan Labuan.

    “Pada Hari Peringatan ini, kita mengenang jasa mereka dan pengalaman Brunei sewaktu Perang Dunia Kedua dengan menghadiahkan koleksi foto Operasi Oboe ini kepada ANBD,” tambah beliau.

    Turut hadir, Duta Besar AS ke Negara Brunei Darussalam, PYT Caryn McClelland. Penyerahan berkenaan menandakan ulang tahun ke-80 Operasi Oboe yang memainkan peranan penting dalam pembebasan Borneo dan menjadi asas kepada hubungan erat antara Australia dan Brunei Darussalam pada masa kini.

    Antara koleksi foto bersejarah Operasi Oboe yang di pamerkan di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Koleksi foto berkenaan sebelum ini telah dipamerkan dalam pameran bertajuk Saksi Sejarah – 80 Years On: Remembering Operation Oboe in Brunei’s History yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia pada Jun 2025.

    Penyerahan koleksi berkenaan melambangkan usaha berterusan dalam memperkukuh pendokumentasian sejarah dan pembangunan Negara Brunei Darussalam, sekali gus memperkayakan warisan dokumentasi negara serta menyokong penyelidikan, pendidikan dan kesedaran sejarah untuk generasi akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda