Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arman San anak yang baik – Ibu

    LAHAD DATU, 30 OGOS – “Saya berbangga dengan anak saya, saya reda pemergiannya, pergi ketika menjalankan misi, dan ramai yang mendoakannya,” kata ibu kepada Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM, Arman San Hermansa, penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia semasa Operasi Salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Penyusop di Johor baru-baru ini.

    Adjirah Sipat, 68, berkata arwah merupakan anak yang baik, dan setiap kali balik bercuti di rumah selalu mengungkapkan kata-kata manis, yang pastinya kata-kata itu akan dirindui beliau dan seluruh anggota keluarganya.

    “Kami sekeluarga cukup sedih, tetapi apakan daya kita sebagai manusia, cepat atau lambat akan merasai mati juga, dia anak yang baik, tidak pernah marah, anak yang sentiasa senyum,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

    Arman San, 28, yang berkhidmat sebagai Penyelam Ranjau pasukan dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api ditemui meninggal dunia dalam operasi salvaj KD Pendekar tiga hari lepas.

    KD Pendekar tenggelam semasa pelayaran dalam operasi di perairan Tanjung Penyusop pada 25 Ogos lepas setelah mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air.

    Jenazah Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa selamat dikebumi pada 10:55 malam kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terusan. – Bernama

    Hermansa Senda ayah kepada Arman San Hermansa menyiram air mawar di atas pusara anaknya yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terusan pada 29 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda