INGELMUNSTER – Pembiak burung merpati dari Belgium, Joel Verschoot sepatutnya sudah bersara dengan tenang pada bulan Mac lalu selepas dia menjual pelumba yang paling mahal di dunia.
Burung merpati, Armando telah menjadi tajuk utama di seluruh dunia setelah Verschoot berjaya menjualnya sekitar AS$1.4 juta dalam lelongan dalam talian dan dibeli oleh pembeli dari China.
Sekarang burung terkenal itu bakal berada di tangan seorang usahawan Beijing, mempersembahkan pemilik baharunya dengan harapan akan melahirkan lagi generasi baharu yang mirip sepertinya.
Akan tetapi, persaraan Verschoot yang berusia 64 tahun itu belum selesai lagi. Dia masih memerlukan sekitar 10 jam sehari untuk menjaga dan melayan burung istimewa tersebut. Sebelum Armando dilelong di seluruh dunia pada awal tahun ini, burung paling mahal yang pernah dijual adalah Nadine, iaitu dijual sekitar 400,000 euro.
Sekarang, Verschoot mahu rekod yang lebih baik. Dia telah menyembunyikan dua pewaris Armando – burung merpati jantan dan betina – dengan harapan ia akan dapat dikahwinkan dan melahirkan generasi baharu. Berdiri di tamannya di Ingelmunster, sebuah bandar kecil berdekatan dengan Kortrijk di West Flanders, Verschoot masih teringat lelongan yang luar biasa itu.
Apabila Armando dijual, dua pembeli dari China berlawan, menaikkan harga satu dengan yang lain sehinggalah salah seorangnya terpaksa menyerah kalah. Joel merupakan satu-satunya anak dalam keluarga Verschoot yang meminati hobi perlumbaan merpati yang diwarisi dari ayahnya. Sekarang, dia mempunyai lebih 300 burung merpati dan termasyhur dalam sukan tersebut.
Menukar minat
Sejak bersara dari rumah penyembelihan pada tahun 2015, Verschoot telah mengubah hobinya kepada perniagaan antarabangsa di mana didorong oleh minat yang mendalam dalam kalangan penduduk China.
Burung Belgium mempunyai reputasi global sebagai pelumba dan Nikolaas Gyselbrecht, Ketua Pegawai Eksekutif Laman Web dalam talian, Pigeon Paradise, mengatakan bahawa China menyumbang sekitar 40 peratus jualan. Reputasi Verschoot – kemudian Armando – dibina semasa perlumbaan jarak jauh antara 500 hingga 700 kilometer.
Sebagai jurulatih, dia menerangkan bahawa keistimewaannya adalah untuk menjaga pasangan jantan dan betina selama dua minggu, sebelum perlumbaan diadakan. Burung yang berpasangan akan bertekad untuk kembali ke pangkuan pasangannya sehingga mampu terbang 80 kmsj selepas dilepaskan. “Cepat, cepat, pantas, pulang ke rumah dan temui pasanganmu,” Verschoot menyanyikan lagu.
Armando selain cepat, ia juga licik, jurulatihnya menjelaskan. Armando menduduki tempat kedua dalam perlumbaan di Limoges, Perancis pada tahun 2017 dan memenangi pertandingan itu pada tahun lepas di Angouleme.
Pada awal tahun ini, semasa perlumbaan di Poznan, Poland, Armando telah menjuarai Liga Juara Burung Terbaik di Eropah. Sehingga kini orang ramai berpusu-pusu untuk mengambil DNA burung merpati tersebut.
Pembeli dari China itu telah memelihara Armando di pusat latihan di Belgium, setaraf dengan sebagaimana burung itu dilatih sebelum ini.
Berkemungkinan burung merpati dari Belgium mempunyai ruang kepada kepelbagaian pendekatan. Dianggarkan antara 18,000 dan 20,000 penduduk Belgium adalah penternak burung merpati berlesen. – AFP