Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arnab panjat belakang kambing elak banjir

    WELLINGTON, New Zealand, 26 Julai – Tiga arnab liar berjaya menyelamatkan diri dari air banjir yang semakin naik di New Zealand dengan memanjat ke atas kawanan kambing biri-biri dan meluncur ke tempat selamat di atas belakang bulu kambing biri-biri itu.

    Ferg Horne, 64 tahun berkata dia adalah penternak sejak dia meninggalkan persekolahan pada usia 15 tahun dan tidak pernah melihat adegan seumpama itu.

    Dia meredah hujan yang mencurah-curah untuk menyelamatkan 40 ekor kambing biri-biri seorang jirannya dari air banjir Sabtu lalu di ladang mereka di South Island berdekatan Dunedin apabila dia terlihat beberapa bentuk gelap dari jauh.

    Dia bingung kerana dia tahu jirannya, yang berada di Rusia untuk menghadiri perkahwinan anak saudara lelakinya, tidak mempunyai kambing biri-biri berwajah hitam.

    Apabila diamatinya, sangkanya ia mungkin serpihan-serpihan daripada ribut yang telah membasahi kawasan itu dan memaksa Horne mengosongkan rumahnya.

    Imej yang diambil daripada video pada 22 Julai menunjukkan tiga ekor arnab bertenggek di belakang kambing ketika ia mengelak daripada air banjir di sebuah ladang berhampiran Dunedin, New Zealand. – AP
    Imej yang diambil daripada video pada 22 Julai menunjukkan tiga ekor arnab bertenggek di belakang kambing ketika ia mengelak daripada air banjir di sebuah ladang berhampiran Dunedin, New Zealand. – AP

    Kemudian dia terlihat arnab-arnab yang basah kuyup menumpang – dua ekor di atas seekor kambing dan arnab ketiga di atas seekor lagi kambing.

    “Pada mulanya saya tidak percaya,” ujarnya.

    Dia berfikir tidak sesiapa akan mempercayainya tanpa bukti, lalu dia mengeluarkan telefonnya untuk mengambil gambar, imej yang difikirkannya akan disukai oleh cucunya. Sebenarnya dia tanpa sengaja merakamkan video singkat.

    “Ia telefon pintar atau telefon Samsung, atau apa saja,” ujarnya.

    “Saya benar-benar tidak pandai dengan teknologi.”

    Bagaimanapun, Horne berjaya merakamkan detik itu. Menurutnya kambing-kambing itu berkumpul bersama di tempat tinggi di ladang, berdiri kira-kira lapan sentimeter dari air.

    Menurutnya arnab-arnab nampak seperti mereka kebasahan, tetapi nampaknya agak selesa dan tenang di atas kambing-kambing itu.

    Arnab-arnab itu dianggap perosak bagi para petani di New Zealand, dan Horne berkata, lazimnya apabila dia melihat arnab, dia akan menembaknya.

    “Namun arnab-arnab itu menunjukkan banyak inisiatif, saya berpendapat arnab-arnab itu berhak untuk hidup,” ujarnya lagi. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda