WASHINGTON, 13 JAN – Columbia Basin Pigmy Rabbit adalah baka arnab paling kecil dan kemungkinan sukar ditemui di dunia.
Ia berasal dari satu bahagian di kawasan negeri Washington dan mempunyai berat di bawah 500 gram.
Menurut laporan dipetik dari Oddity Central, terdapat banyak baka arnab domestik yang kecil untuk dipilih jika awda sedang mencari arnab peliharaan, tetapi yang paling kecil sebenarnya adalah baka liar yang tidak dapat dijadikan sebagai haiwan peliharaan.
Sebab utama mengapa awda berkemungkinan besar tidak akan memilikinya adalah kerana statusnya yang sangat terancam.
Baka tulen arnab jantan terakhir mati pada tahun 2006, manakala baka tulen jantan terakhir pupus pada tahun 2008.
DNA tulen baka itu mati bersama haiwan tersebut, tetapi ahli pemuliharaan berjaya menyelamatkan baka itu dengan mencampurkannya dengan arnab pigmi Idaho.
Columbia Basin Pigmy Rabbit memakan sejenis belukar sagebrush yang ada pada musim sejuk dan ketiadaan sagebrush disebabkan pembangunan pertanian dan kebakaran hutan merupakan salah satu sebab utama ia diisytiharkan pupus, bersama-sama dengan pemangsanya.
Arnab pigmi dewasa pula mempunyai berat antara 375 dan 500 gram dengan panjang badan antara 23.5 dan 29.5 sentimeter, manakala yang betina lebih besar sedikit berbanding jantan.
Tiada rekod arnab pigmi pernah dibela dengan bilangannya di alam liar masih sangat rendah dan kita mungkin tidak akan mendengar tentangnya dijadikan sebagai haiwan peliharaan ketika ini. – Agensi