Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aroma harum bunga melati kian pudar

    MESIR – Selama bertahun-tahun, pekebun bunga melati Mesir, Wael al-Sayed telah memetik bunga itu pada waktu malam di Delta Nil, membekalkan kepada firma minyak wangi terkemuka dunia. Tetapi pada musim panas baru-baru ini, bakulnya terasa lebih ringan dan wangian yang dahulunya harum semerbak kini semakin berkurangan.

    “Ia panas,” kata Sayed, 45, yang telah menghabiskan hampir 10 tahun bekerja di ladang di Shubra Balula, sebuah perkampungan yang tenang kira-kira 100 kilometer di utara Kaherah dan hab utama bagi industri melati Mesir.

    Apabila suhu meningkat, katanya, bunga tersebut kurang mekar dan tuaian hariannya menurun daripada enam kilogram kepada hanya dua atau tiga dalam tempoh dua tahun lalu.

    Di kawasan delta yang subur itu, melati telah menjana pendapatan beribu-ribu keluarga seperti Sayed sejak beberapa generasi, tetapi peningkatan suhu, musim kering yang berpanjangan dan serangga perosak yang disebabkan iklim mengancam warisan kaya tersebut.

    Dari Jun hingga Oktober, keluarga, termasuk kanak-kanak, secara tradisinya pergi ke ladang antara tengah malam dan subuh untuk memetik bunga melati.

    Seorang pekerja menuai bunga melati sebelum matahari terbit di ladang di perkampungan Shubra Balula di wilayah delta Nil utara Mesir, Gharbiya pada 7 Julai. – AFP
    Pekerja memetik bunga melati pada waktu matahari terbit di ladang di perkampungan Shubra Balula di wilayah delta Nil utara Mesir, Gharbiya. – AFP
    Pekerja memetik bunga melati pada waktu matahari terbit di ladang di perkampungan Shubra Balula di wilayah delta Nil utara Mesir, Gharbiya. – AFP
    Pekerja memetik bunga melati pada waktu matahari terbit di ladang di perkampungan Shubra Balula di wilayah delta Nil utara Mesir, Gharbiya. – AFP
    Gambar menunjukkan sekuntum bunga melati di ladang di perkampungan Shubra Balula di wilayah delta Nil utara Mesir, Gharbiya. – AFP

    Dengan hasil yang berkurangan, ada yang meninggalkan perniagaan sepenuhnya dan mereka yang telah tinggal sekarang bekerja lebih lama.

    Lebih ramai kanak-kanak juga diperlukan untuk membantu dan sering berjaga sepanjang malam untuk memetik bunga itu sebelum pergi ke sekolah.

    Buruh kanak-kanak kekal berleluasa di Mesir dengan 4.2 juta kanak-kanak bekerja dalam sektor pertanian, industri dan perkhidmatan, selalunya dalam keadaan tidak selamat atau bersifat eksploitasi, menurut kajian 2023.

    Pada tahun ini, Sayed telah membawa dua anaknya, hanya berusia sembilan dan 10 tahun, untuk menyertai dia dan isterinya bekerja di tanah seluas 350 meter persegi.

    “Kami tidak mempunyai pilihan lain,” kata Sayed.

    TERLALU PANAS UNTUK MEKAR

    Menurut syarikat pemprosesan terbesar negara itu, A Fakhry & Co, Mesir menghasilkan hampir separuh daripada melati dunia, ekstrak lilin daripada kilang yang menyediakan asas penting untuk wangian berjenama dan merupakan eksport bernilai berjuta-juta dolar.

    Pada 1970an, Mesir menghasilkan 11 tan konkrit melati setiap tahun, menurut Persekutuan Antarabangsa Minyak Pati dan Perdagangan Aroma.

    Sekarang, A Fakhry & Co mengatakan ia merosot kepada 6.5 tan.

    Ali Emara, 78, yang telah memetik melati sejak berumur 12 tahun, berkata musim panas dahulu juga panas, tetapi tidak seperti sekarang.

    Mohamed Bassiouny, 56, dan empat anak lelakinya telah melihat hasil tuaian mereka berkurangan daripada 15 kepada tujuh kilogram dengan pemetik kini mengambil masa lebih lapan jam untuk mengisi penuh bakul.

    Melati di rantau itu amat sensitif terhadap haba dan kelembapan, kata Karim Elgendy dari Carboun Institute, sebuah badan pemikir iklim dan tenaga Belanda.

    “Suhu yang lebih tinggi boleh mengganggu proses pertumbuhan bunga, mengurangkan kepekatan minyak dan memberikan tekanan yang menyebabkan penghasilannya berkurangan,” kata Elgendy kepada AFP.

    Laporan 2023 oleh Agensi Tenaga Antarabangsa mendapati suhu Mesir meningkat 0.38 Celsius (C) setiap tahun (2000-2020), mengatasi purata global.

    Haba itu menjejaskan keharuman bau melati termasuk nilai minyak yang diekstrak, kata Pengurus A Fakhry & Co, Badr Atef.

    Sementara itu, serangga perosak seperti hama labah-labah dan cacing daun semakin membiak dalam keadaan yang lebih panas, kering sekali gus menambahkan risiko.

    Ketua Pegawai Eksekutif French Fragrance House di Grasse, ibu negara minyak wangi Perancis, Alexandre Levet menjelaskan industri itu menghadapi kesan perubahan iklim di seluruh dunia.

    “Kami mempunyai berpuluh-puluh bahan alami yang sudah mengalami perubahan iklim,” katanya sambil menjelaskan bahawa kawasan baharu untuk produk telah muncul apabila berlakunya perubahan iklim tempatan.

    RISIKO PETANI DAN PERTANIAN

    Dengan Delta Nil juga terdedah kepada kenaikan paras air Mediterranean, yang menjejaskan kemasinan tanah, petani melati berdepan pemanasan planet.

    “Para pekerja berada dalam keadaan tidak berdaya tanpa adanya bantuan,” kata ahli sosiologi luar bandar Saker El Nour, tanpa kepentingan dalam industri yang bergantung kepada tenaga kerja mereka.

    Jenama global mengenakan bayaran sehingga AS$6,000 setiap kilogram melati mutlak, minyak aromatik tulen yang diperoleh daripada bahan berlilin melati dan digunakan oleh minyak wangi, tetapi pemetik Mesir memperoleh hanya 105 paun Mesir (AS$2) sekilogram.

    Satu tan bunga hanya menghasilkan 2 hingga 3 kilogram lilin dan kurang daripada separuh daripada minyak pati tulen, cukup untuk kira-kira 100 botol minyak wangi.

    “Apakah nilai 100 paun hari ini? Tiada apa-apa,” kata Sayed.

    Mata wang Mesir telah kehilangan lebih dua pertiga daripada nilainya sejak 2022, mendorong inflasi meningkat dan memberi kesan kepada keluarga seperti Sayed.

    Pada Jun lalu, pemetik telah melancarkan mogok yang jarang berlaku, menuntut 150 paun sekilogram. Tetapi dengan harga yang ditetapkan oleh segelintir pemproses swasta dan tanpa pengawasan kerajaan, mereka hanya menerima peningkatan sebanyak 10 paun.

    Setiap tahun, petani memperoleh pendapatan semakin berkurangan, manakala pemanasan planet mengancam keseluruhan mata pencarian masyarakat.

    “Kampung seperti ini mungkin kehilangan daya maju sama sekali,” kata Elgendy. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda