Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arsenal bangkit melawan tumpaskan Southampton

    LONDON, 6 OKT – Mikel Arteta memberi tabik hormat kepada Bukayo Saka kerana memberi inspirasi kepada usaha Arsenal untuk mengekalkan cabaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 3-1 menentang Southampton kelmarin.

    Pada mulanya, skuad Arteta digemparkan dengan kejutan jaringan Cameron Archer pada awal separuh masa kedua di Stadium Emirates.

    Tetapi Kai Havertz dan Gabriel Martinelli menjaringkan gol berturut-turut untuk memulihkan keadaan, sebelum Saka melengkapkan kemenangan kelima Arsenal dalam tujuh perlawanan liga.

    Saka minggu ini berkata beliau menjangkakan Arsenal bakal menjulang trofi Liga Perdana musim ini.

    Saka membuat tujuh bantuan atau assist dalam Liga Perdana setakat ini, lebih banyak daripada mana-mana pemain lain, dan yang paling banyak merentasi semua lima liga teratas Eropah.

    “Terdapat statistik dan anda tidak boleh lari daripada itu, dan apa yang dia lakukan pada usianya adalah sukar dipercayai,” kata Arteta.

    “Dia mempunyai kapasiti untuk berubah dan memutuskan perlawanan. Itulah kematangannya dan ia satu lagi langkah dalam apa yang dia mahukan.

    “Apabila awda melakukannya di tempat sendiri, dalam perlawanan besar atau tidak begitu besar. Itulah yang mentakrifkan pemain terbaik.

    “Jika kami mahu berada di puncak, kadangkala pemain perlu mencipta detik-detik itu dan dia pasti melakukannya,” ujar Arteta lagi.

    Empat hari selepas kemenangan menentang Paris Saint-Germain dalam Liga Juara-Juara, Arsenal berdepan pasukan Southampton yang hanya memperoleh satu mata daripada tujuh perlawanan.

    “Kami tersentak dengan gol mereka dan memang benar kami perlu bertindak balas terhadapnya. Tetapi kami melakukannya dan dengan cara yang meyakinkan,” kata Arteta.

    Arsenal menguasai separuh masa pertama tanpa menguji Ramsdale sehingga masa kecederaan apabila dia menepis jaringan Thomas Partey.

    Pendahuluan Southampton hanya bertahan tiga minit apabila Saka menewaskan Flynn Downes sebelum menemui Havertz, yang dengan yakin membolosi gawang untuk gol keempatnya dalam empat perlawanan terakhirnya.

    Ketika sejam perlawanan, Arteta memperkenalkan Martinelli dan Leandro Trossard dalam sepasang pertukaran yang mengubah keadaan.

    Umpan silang Saka menemui Martinelli yang tidak dikawal dan membuat jaringan pada minit ke-68 melaui celah kaki Ramsdale.

    Ketika Saints berusaha untuk menyamakan kedudukan, Saka menewaskan Ramsdale untuk memastikan Arsenal mengejar impian gelaran mereka. – AFP

    Reaksi Bukayo Saka selepas menjaringkan gol ketiga pasukannya menentang Southampton di Stadium Emirates, London kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda