LIVERPOOL, 12 MEI – Arsenal bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menyelamatkan keputusan seri 2-2 yang berharga semasa menentang Liverpool kelmarin.
Pasukan Mikel Arteta ketinggalan kepada gol separuh masa pertama hasil jaringan Cody Gakpo dan Luis Diaz di Anfield.
Tetapi Gabriel Martinelli mengurangkan defisit sebelum Mikel Merino meraih gol penyamaan.
Walaupun Merino dilayangkan kad merah kerana kesalahan kedua ketika berbaki 11 minit, Arsenal berjaya bertahan untuk meraih mata penting dalam perebutan sengit kedudukan lima teratas Liga Perdana.
Dengan perbezaan gol yang jauh lebih baik kepada semua pesaing teratas liga, Arsenal sepatutnya hanya memerlukan satu mata lagi untuk memastikan tempat ke Liga Juara-Juara walaupun hanya memenangi satu daripada enam perlawanan liga terakhir mereka.
“Apa yang kami lakukan pada separuh masa pertama tidak mencapai tahap. Itu tidak boleh diterima,” kata Arteta.
Arsenal masih menjilat luka mereka selepas disingkirkan daripada Liga Juara-Juara musim ini oleh Paris Saint-Germain pada perlawanan separuh akhir kedua yang lalu.
Dengan banyak perkara yang perlu dibuktikan, Arsenal, tanpa trofi selama lima tahun, terpaksa menahan geram ketika mereka berbaris untuk memberikan Liverpool kawalan kehormatan semasa melangkah masuk ke padang.
Liverpool kelihatan seperti lebih menguasai perlawanan apabila mereka menjaringkan gol pada minit ke-20 melalui hantaran silang Andrew Robertson yang ditanduk Gakpo.
Liverpool menambah jaringan gol hanya 87 saat kemudian apabila Diaz meleret masuk menyudahkan hantaran silang rendah Dominik Szoboszlai.
Arsenal membalas dengan jaringan minit ke-47 apabila Martinelli menerima hantaran lintang Leandro Trossard dengan tandukan ke sudut jauh gawang.
Anak buah Arteta kembali bersaing dan mereka berhak menyamakan kedudukan pada minit ke-70 apabila rembatan kencang Martin Odegaard berjaya ditepis oleh Alisson tetapi Merino bertindak pantas dengan terjun dan menanduk bola masuk. – AFP
