LONDON, 3 FEB – Arsenal menewaskan Manchester City 5-1 untuk mengekalkan harapan mereka meraih gelaran Liga Perdana Inggeris, semalam.
Dalam pertarungan antara dua pasukan teratas dalam tempoh dua musim lalu, Gunners berjaya meraih kemenangan untuk merapatkan jurang kepada enam mata di belakang pendahulu Liverpool, yang mempunyai satu perlawanan di tangan.
“Ini adalah hari yang hebat bagi kami, terutamanya dengan keperluan untuk memenangi perlawanan ini,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Arsenal memulakan perlawanan sempurna dalam masa dua minit pertama apabila Manuel Akanji terlepas kawalan bola dan Kai Havertz melorongkan kepada Martin Odegaard untuk membuka jaringan.
Erling Haaland menanduk gol kerjaya kelab ke-250 pada awal separuh masa kedua untuk menyamakan kedudukan bagi City.
Namun, juara bertahan musim ini kelihatan kurang menyerlah dan memberikan peluang kepada Arsenal dalam masa 105 saat selepas permulaan separuh masa kedua apabila rembatan Thomas Partey melencong dari John Stones.
“Ia telah berlaku sepanjang musim ini, kami memberikan terlalu banyak peluang,” kata pengurus City, Pep Guardiola.
“Awda tidak boleh kehilangan kawalan, ia adalah 95 minit. Awda tidak boleh berakhir dengan cara kami beraksi.”
Myles Lewis-Skelly sepatutnya digantung sekiranya kad merah kontroversinya dalam kemenangan 1-0 di Wolves minggu lalu tidak dibatalkan.
Pemain berusia 18 tahun itu memanfaatkan peluang tersebut dengan menyempurnakan gol ketiga Arsenal menerusi sepakan lengkung untuk gol pertamanya bersama kelab.
Havertz menjaringkan gol keempat dengan rembatan rendah dan kuat ke hujung penjuru apabila City terdedah dengan serangan balas Arsenal pada minit ke-76.
Seorang lagi remaja Arsenal, Ethan Nwaneri melengkapkan kemenangan apabila merembat masuk gol kelima pada masa kecederaan.
Kekalahan tersebut meninggalkan City kekal di tangga keempat namun ketinggalan 15 mata kini di belakang pendahulu dan secara realistiknya tersingkir daripada perebutan gelaran selepas empat musim berturut-turut sebagai juara. – AFP