PARIS, 30 Nov – Pasukan dari London, Chelsea dan Arsenal kedua-duanya telah menikmati kemenangan bergaya dalam saingan Liga Europa awal pagi tadi dengan gergasi Glasgow, Celtic dan Rangers pula terpaksa menunggu perlawanan terakhir untuk layak ke peringkat seterusnya.
Pengendali pasukan Arsenal, Unai Emery menyenaraikan pemain-pemain muda untuk beraksi di Ukraine dan mereka mengambil peluang dan kepercayaan pengurus mereka apabila meraih kemenangan selesa 3-0, menewaskan Vorskla Poltava.
Kejayaan itu sekali gus menjamin kedudukan Arsenal di puncak teratas Kumpulan E, dalam perlawanan yang dipindahkan ke Kiev, berikutan wujud kebimbangan mengenai isu keselamatan di timur negara itu.
Pemain remaja, Emile Smith Rowe dan Joe Willock masing-masing mencetak gol dan satu lagi jaringan diraih hasil sepakan penalti yang di sempurnakan oleh Aaron Ramsey bagi memastikan kemenangan selesa buat Gunners pada separuh masa pertama.
Arsenal kini perlu mengelak daripada bertemu pasukan yang tersingkir daripada Liga Juara-Juara, dalam undian peringkat seterusnya, kerana mereka mempunyai rekod yang lebih baik menentang pasukan di tempat kedua, Sporting Lisbon. Sementara itu, jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri yang menggesa para pemainnya bangkit selepas kekalahan kepada Tottenham di Liga Perdana Inggeris sebelum ini, juga berjaya mengemudi pasukan menebus kekecewaan dalam kancah domestik.

The Blues menewaskan PAOK Salonika 4-0, dengan dua gol hasil jaringan pemain Perancis dan bekas pemain Gunners, Olivier Giroud.
“Sasaran utama adalah untuk menang, kami perlukan tindak balas pasukan yang kuat dan kami berjaya melakukan dengan baik pada kali ini,” kata pemenang Piala Dunia, Giroud.
“Saya sangat gembira dengan semangat pasukan dan kami kini boleh bergerak ke hadapan dan mula mendapatkan momentum baharu.
“Saya berjaya menjaringkan gol, tetapi sebenarnya saya terpaksa menunggu untuk mendapatkan lebih banyak peluang,” kata Giroud yang memecah kebuntuan jaringan pada perlawanan sebelum ini.
“Anda memerlukan sedikit tuah di depan gawang. Saya menerima umpanan yang bagus daripada rakan sepasukan dan saya suka umpanan di belakang pertahanan lawan.
“Empat jaringan tanpa bolos, ia merupakan malam yang baik untuk kami. Apabila pe-ngurus menamakan saya dalam kesebelasan utama, saya cuba membuat yang terbaik.”
Sebelum perlawanan awal pagi tadi, Bayer Leverkusen, Zurich, Dinamo Zagreb, Ar-senal, Frankfurt, Lazio dan Chelsea semuanya sudah layak ke saingan seterusnya.
Begitu juga dengan pasukan Salzburg, Sporting Lisbon, Real Betis, Zenit Saint-Petersburg, Dynamo Kiev, Krasnodar dan Fenerbahce yang beraksi untuk memburu kedudukan selesa di carta kumpulan. – AFP