LONDON, 29 MAC – Arsenal bertandang ke Manchester City untuk perlawanan yang boleh menjadi penentu dalam persaingan tiga penjuru Liga Perdana Inggeris, serta memburu kemenangan berganda yang jarang berlaku ke atas anak buah Pep Guardiola.
The Gunners tidak mempunyai rekod yang baik menentang City dalam Liga Perdana, dengan 12 kekalahan dalam 13 perlawanan terakhir mereka, dan kemenangan tunggal Arsenal adalah di Emirates pada bulan Oktober lepas hasil jaringan Gabriel Martinelli.
Kini, anak buah Arteta kelihatan lebih kuat berbanding tahun lalu, apabila mereka tewas pada penghujung musim dan membolehkan City untuk menjadi juara tiga kali berturut-turut.
City pula tidak pernah tewas dalam 38 perlawanan terakhir di tempat sendiri dalam semua pertandingan. Brentford pula adalah pasukan pelawat terakhir yang pernah menang melawan City pada November 2022 lalu.
Sementara itu, Liverpool boleh memintas dengan tiga mata di hadapan Arsenal dan empat mata di hadapan City, jika mereka tewaskan Brighton di Anfield Ahad ini.
Klopp sedang memimpin pasukannya di landasan yang betul walaupun dilanda krisis kecederaan dan menepis sebarang idea negatif selepas kekalahan 4-3 di Old Trafford sekali gus tersingkir daripada saingan Piala FA.
Liverpool mengekori pendahulu liga Arsenal dengan perbezaan gol dan akan berharap City menewaskan Gunners di Manchester.
Brighton pula telah seri dua perlawanan terakhir mereka di Anfield tetapi mereka tiada rekod kemenangan sejak September dan Liverpool yakin mereka boleh menang apabila krisis kecederaan mereka semakin reda.- AFP