Monday, July 28, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arsenal ikat Viktor Gyokeres lima tahun

    LONDON, 27 JULAI – Arsenal kelmarin mengumumkan ketibaan penyerang antarabangsa Sweden, Viktor Gyokeres dari Sporting Lisbon, sebagai langkah memperkukuh jentera serangan mereka dalam usaha mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

    Penyerang berusia 27 tahun itu, yang menjaringkan 39 gol untuk membawa Sporting menjuarai liga Portugal musim lalu serta mencipta hatrik dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Manchester City, dilaporkan menandatangani kontrak lima tahun dengan nilai perpindahan sekitar 55 juta pound (62.9 juta euro).

    Perpindahan Gyokeres yang jumlahnya boleh mencecah 64 juta pound dengan insentif tambahan berdasarkan prestasi menjadikan perbelanjaan musim panas Arsenal mencecah sekitar 200 juta pound.

    “Bergabung dengan kelab bertaraf seperti Arsenal, saya rasa ia akan membantu saya beraksi lebih baik dengan semua pemain hebat dalam pasukan ini. Saya sangat teruja untuk bermula,” kata Gyokeres.

    Beliau menjadi pemain keenam yang ditandatangani pengurus Mikel Arteta musim ini, selepas kehadiran pertahanan Cristhian Mosquera (13 juta pound), pemain tengah Martin Zubimendi (60 juta pound), penjaga gol Kepa Arrizabalaga (5 juta pound), pemain tengah Christian Norgaard (10 juta pound) dan penyerang Noni Madueke (48.5 juta pound).

    Viktor Gyokeres menjaringkan gol kedua pasukannya dalam perlawanan Liga Portugal antara Sporting dan Vitoria Guimares di Stadium Jose Alvalade, Lisbon pada 17 Mei. – AFP

    Gyokeres dijangka akan menyertai rakan sepasukannya dalam jelajah pramusim Arsenal ke Singapura dan Hong Kong.

    Skuad The Gunners dijadualkan menentang Newcastle di Stadium Nasional Singapura hari ini, sebelum perlawanan terakhir jelajah tersebut menentang Tottenham di Hong Kong pada 31 Julai.

    “Saya sentiasa mahu menjaringkan gol,” ujar Gyokeres. “Menjadi sebahagian daripada kelab ini, menjaringkan gol dengan jersi ini di hadapan penyokong saya tidak sabar. Ia pasti satu perasaan yang luar biasa.”

    Gyokeres mula berhijrah ke England pada Januari 2018 apabila menyertai Brighton dari kelab Sweden, Brommapojkarna. Namun, beliau banyak dipinjamkan ke kelab lain seperti St Pauli, Swansea dan Coventry sebelum berpindah secara tetap ke Coventry pada Julai 2021.

    Selepas Coventry tewas kepada Luton menerusi penentuan penalti dalam perlawanan akhir Championship 2023 di Wembley, Gyokeres melengkapkan perpindahan bernilai 20.5 juta pound ke Sporting. Beliau menjaringkan 97 gol dalam 102 perlawanan bersama kelab Portugal itu – satu rekod yang luar biasa. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda