Monday, October 21, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arsenal kecundang kali pertama musim ini

    LONDON, 20 OKT – Arsenal akhirnya mengalami kekalahan pertama dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas William Saliba dilayangkan kad merah, menyaksikan mereka tewas 2-0 di tangan Bournemouth, awal pagi tadi.

    Skuad kendalian Mikel Arteta sebelum ini memulakan musim dengan 10 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan, namun rekod tersebut berakhir dalam perlawanan yang penuh kontroversi di pantai selatan England.

    Pertahanan Arsenal, Saliba dibuang padang selepas setengah jam kerana kekasaran ke atas Evanilson yang pada awalnya diberikan kad kuning sebelum ditukar kepada kad merah selepas semakan VAR.

    The Gunners akhirnya rapuh di hujung saingan apabila Ryan Christie meletakkan Bournemouth di depan selepas 70 minit.

    Penalti Justin Kluivert sembilan minit kemudian memastikan Arsenal tewas buat kali pertama sejak kekalahan mereka pada suku akhir kedua Liga Juara-juara di tangan Bayern Munich pada April lalu.

    Pemain Arsenal, Ben White, kelihatan kecewa selepas tewas di tangan Bournemouth pada aksi EPL di Stadium Vitality, Bournemouth, awal pagi tadi. – AFP

    Ia satu tamparan hebat buat Arsenal, yang boleh merampas tangga teratas EPL jika menang tetapi kini terpaksa berdepan pendahulu kejuaraan Liverpool hujung minggu depan tanpa Saliba yang digantung perlawanan.

    Pasukan tangga ketiga Arsenal akan ketinggalan empat mata di belakang Liverpool jika pasukan pendahulu menewaskan Chelsea di Anfield malam ini.

    Arsenal jelas beraksi di bawah tahap sebenar mereka, menunjukkan peranan penting penyerang yang cedera Bukayo Saka, yang tidak bermain selepas dikeluarkan ketika kekalahan England di tangan Greece minggu lalu.

    Mereka perlu bangkit menentang Shakhtar Donetsk dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu depan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda