Thursday, March 13, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arsenal mahu kekal di atas

    LONDON, 30 DIS – Arsenal berazam untuk menamatkan tahun ini dengan kemenangan apabila pendahulu Liga Perdana itu bertandang ke Brighton untuk perlawanan akhir tahun 2022 mereka pada hujung minggu ini.

    Dengan Gabriel Jesus yang direhatkan selama beberapa bulan, pengurus Arsenal, Mikel Arteta berasa lega melihat sumbangan Eddie Nketiah dalam kemenangan 3-1 ke atas West Ham pada Boxing Day baru-baru ini.

    Semasa permulaannya pada musim ini, Nketiah menjaringkan gol ketiga ketika pertembungan di London yang membuktikan pemain berusia 23 tahun itu mampu menjadi pemangku kepada penyerang dari Brazil, Jesus, yang mengalami kecederaan lutut semasa Piala Dunia Qatar.

    Walaupun sesetengah peminat berasa Nketiah mungkin bergelut untuk menggantikan aksi penuh impak yang mengagumkan oleh Jesus sejak perpindahannya dari Manchester City, Arteta yakin bahawa penyerang mudanya mampu menggalas tanggungjawab tersebut.

    “Dia seorang budak yang begitu yakin,” kata Arteta. “Tetapi diharapkan gol tersebut mampu memberikannya (jika dia mempunyai sebarang keraguan) keyakinan tambahan mengenai apa yang mampu dia lakukan.”

    Kemenangan di Brighton pada pagi Ahad akan memastikan Arsenal melangkah masuk ke tahun 2023 dengan sekurang-kurangnya kelebihan lima mata di persada liga. Namun Arteta memahami bahawa untuk mengekalkan gelaran pendahulu liga akan memerlukan usaha berterusan daripada Nketiah.

    “Prestasinya sangat bagus. Untuk Eddie dan untuk pasukan, saya rasa itu amat penting,” kata Arteta. – AFP

    Aksi Nketiah (kanan), menjaringkan gol semasa menentang West Ham United di Stadium Emirates, London, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda