LONDON, 17 APRIL – Impian Arsenal untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak 2004 berada dalam bahaya, tetapi Mikel Arteta (gambar-AP) tetap bertegas bahawa pasukan mereka selaku pendahulu liga mampu mengatasi tekanan merebut kejuaraan.
Pasukan kendalian Arteta sekali lagi mensia-siakan pendahuluan dua gol dalam perlawanan kedua berturut-turut ketika West Ham menyerang balas untuk menjadikan keputusan seri 2-2 di Stadium London kelmarin.
Selepas meleburkan kelebihan yang sama dalam keputusan seri 2-2 di Liverpool hujung minggu lalu, The Gunners sekali lagi dihukum kerana mempamerkan aksi yang kurang memuaskan.
Walaupun Arsenal berada empat mata di depan Manchester City yang berada di tempat kedua, namun juara bertahanlah yang mempunyai momentum untuk mengharungi minggu-minggu terakhir perebutan gelaran yang sengit ini.
Dengan perlawanan di tempat sendiri menentang Arsenal semakin hampir pada 26 April, City tahu bahawa mereka akan dinobatkan sebagai juara jika mereka memenangi lapan perlawanan terakhir mereka.
Bagi Arsenal pula, anak buah Pep Guardiola sudah menewaskan mereka dua kali musim ini, menang 3-1 di Stadium Emirates dalam liga pada Februari, hanya beberapa minggu selepas menyingkirkan Gunners daripada Piala FA dengan kemenangan 1-0 di Manchester.
Untuk Arsenal adalah pahit apabila mereka tidak lagi mengawal nasib mereka sendiri setelah tempoh yang panjang pasukan London utara itu berada di puncak carta liga pada musim ini.
Arteta mengakui kelemahan Arsenal menentang West Ham dan Liverpool adalah kesilapan yang dilakukan mereka sendiri, dengan jurulatih Sepanyol itu amat kecewa dengan cara pemainnya mengambil mudah kedudukan mereka kelmarin.
Namun dia enggan mengatakan bahawa tekanan tanpa henti oleh City telah menjejaskan prestasi mereka. – AFP


