MADRID, 17 APRIL – Arsenal menewaskan juara bertahan Real Madrid 2-1 semalam untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-juara buat kali pertama sejak 2009, dalam perlawanan yang menyaksikan VAR memainkan peranan penting dalam dua keputusan penalti.
Arsenal mara dengan agregat 5-1 selepas kemenangan 3-0 di London minggu lalu, sekali gus mengekalkan harapan untuk menjuarai pertandingan kelab utama Eropah itu buat kali pertama. Mereka akan menentang Paris Saint-Germain di separuh akhir.
Tiada kebangkitan bersejarah buat Madrid kali ini. Tiada jaringan lewat, tiada drama hebat, tiada keajaiban di Stadium Santiago Bernabeu.
Juara Eropah 15 kali itu gagal mara ke empat pasukan terakhir buat pertama kali sejak 2020, sekali gus menamatkan peluang untuk meraih kejuaraan Liga Juara-juara ketiga dalam tempoh empat musim.
“Terlalu banyak diperkatakan tentang kebangkitan Madrid kerana mereka sering berjaya melakukannya sebelum ini, tetapi kami sangat yakin dan percaya selepas perlawanan pertama bahawa kami boleh datang ke sini dan menang,” kata pemain tengah Arsenal, Declan Rice. “Kami memang bertekad dan kini ia menjadi kenyataan.”

Harapan Madrid untuk melakukan satu lagi kebangkitan musnah apabila semakan VAR selama lima minit membatalkan keputusan penalti ke atas Kylian Mbappe dalam separuh masa pertama ketika kedudukan masih 0-0.
Sebelum itu, Arsenal turut diberikan penalti selepas semakan video, namun Bukayo Saka gagal menyempurnakan sepakan tersebut.
Saka kemudian berjaya meletakkan Arsenal di hadapan menerusi rembatan dari dalam kotak penalti hasil hantaran Mikel Merino pada minit ke-65. Madrid hanya mampu menyamakan kedudukan menerusi Vinicius Junior beberapa minit kemudian selepas kesilapan pertahanan oleh William Saliba.
Gabriel Martinelli melengkapkan jaringan Arsenal tiga minit selepas masa kecederaan, juga selepas satu lagi bantuan gol daripada Merino.
“Ini adalah salah satu malam terbaik dalam kerjaya bola sepak saya, sudah tentu,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta. “Ia benar-benar satu malam istimewa menentang sebuah pasukan yang menjadi inspirasi kepada kami dalam pertandingan ini. Untuk menang dalam cara sebegini, kami patut berasa sangat bangga.” – AP