LONDON, 16 OGOS – Arsenal hari ini menandatangani penjaga gol Brentford, David Raya sebagai pemain pinjaman selama semusim.
Perpindahan pemain Sepanyol itu ke Stadium Emirates bakal menyaksikan persaingan sengit dengan penjaga gol England, Aaron Ramsdale dalam kesebelasan utama Gunners.
Raya beraksi cemerlang dalam kesemua 38 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Brentford musim lalu sekali gus menarik perhatian beberapa kelab lain.
Dia dikaitkan dengan perpindahan kekal bernilai £30 juta dengan Arsenal sebelum diperoleh secara pinjaman yang dilaporkan hanya membabitkan kos sekitar £3 juta.
Arsenal mempunyai pilihan untuk menjadikan perpindahan Raya sebagai perpindahan kekal dengan nilai £27 juta di penghujung musim.
“Kami mengalu-alukan kehadiran David sebagai pemain pinjaman selama semusim. Dia penjaga gol sangat berkualiti dan beraksi pada tahap tertinggi bersama Brentford di EPL,” kata Pengarah Sukan Arsenal, Edu.
“Dengan adanya David, kami menambahkan kualiti dan kekuatan dalam skuad kami, jadi kami boleh mempamerkan prestasi terbaik dalam semua kejohanan.”
Raya berada di tempat duduk penonton di Stadium Emirates Sabtu lalu ketika Arsenal membuka tirai musim baharu dengan menewaskan Nottingham Forest 2-1. – AFP
