Wednesday, March 12, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Arsenal rapatkan jurang Liverpool

    LONDON, 16 FEB – Arsenal mengetepikan krisis kecederaan untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, apabila Mikel Merino menginspirasi kemenangan 2-0 ke atas Leicester, semalam.

    Pasukan kendalian Mikel Arteta berdepan risiko mensia-siakan peluang untuk memberi tekanan kepada Liverpool dalam perebutan kejuaraan apabila mereka bergelut
    mencari gol pembukaan di Stadium King Power.

    Dengan pilihan serangan yang terhad akibat kecederaan beberapa pemain utama, Arteta menurunkan pemain tengah Sepanyol, Merino, sebagai penyerang sementara pada akhir perlawanan.

    Keputusan itu terbukti langkah bijak apabila Merino meledak dua gol dalam tempoh sembilan minit terakhir untuk melanjutkan rekod tanpa kalah Arsenal dalam liga kepada 15 perlawanan.

    Pada minit ke-81, Merino menanduk masuk hantaran Ethan Nwaneri dari sebelah kanan ke dalam kotak penalti Leicester, melepasi Mads Hermansen dari jarak enam ela.

    Mikel Merino menjaringkan gol pembukaan pasukannya dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Leicester City dan Arsenal di Stadium King Power, Leicester, England, pada 15 Februari. – AP

    Tujuh minit kemudian, Meriso menyudahkan hantaran menarik Leandro Trossard, sekali gus membawa Arsenal, yang kini berada di tangga kedua, empat mata di belakang Liverpool.

    Dengan Kai Havertz disahkan tidak dapat beraksi sepanjang musim selepas mengalami kecederaan hamstring ketika cuba menyekat percubaan jaringan dalam sesi latihan Arsenal di Dubai baru-baru ini, Arteta terpaksa berdepan krisis di bahagian serangan.

    Gabriel Jesus, Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli turut diketepikan akibat kecederaan.

    “Dalam aksi separuh masa pertama, kami bergelut untuk mendapatkan momentum kerana kami melakukan banyak kesilapan mudah, tetapi separuh masa kedua sangat berbeza,” kata Arteta.

    “Mikel jelas memberikan impak besar dengan menjaringkan dua gol tersebut.”

    Liverpool boleh melebarkan jurang pendahuluan kepada tujuh mata sekiranya mereka menewaskan Wolves di Anfield pada Ahad. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda