LONDON, 21 OGOS – Arsenal dilaporkan bersedia untuk merampas Eberechi Eze dari Tottenham Hotspur menerusi salah satu langkah paling berani dalam jendela perpindahan musim panas Liga Perdana Inggeris kali ini, menurut laporan kelmarin.
Spurs sebelum ini dilihat berada dalam landasan untuk membawa pemain tengah penyerang Crystal Palace berusia 27 tahun itu ke bahagian utara London mereka.
Namun kini dilaporkan Arsenal, susulan kebimbangan terhadap kecederaan lutut Kai Havertz, akan menggagalkan perpindahan itu dan membawa pemain antarabangsa England, Eze, yang pernah dilepaskan oleh Gunners ketika berusia 13 tahun, ke Emirates.
Laman The Athletic melaporkan Arsenal telah mencapai persetujuan secara prinsip dengan Palace untuk menandatangani Eze, dengan nilai perpindahan sekitar klausa pelepasan £68 juta yang telah tamat tempoh, setara dengan jumlah yang Spurs sedia bayar.
Minat Arsenal terhadap Eze meningkat selepas Havertz mengalami masalah kecederaan.

Pemain antarabangsa Jerman itu masuk pada separuh masa kedua sebagai gantian ketika kemenangan Ahad ke atas Manchester United dan menamatkan perlawanan tetapi tidak hadir dalam sesi latihan terbuka Arsenal di Emirates, kelmarin.
Arsenal menamatkan musim lalu sebagai naib juara di belakang juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool, dan dijangka mencabar kejuaraan sekali lagi. Manakala Spurs, yang memenangi final Liga Europa, menamatkan kempen di tangga ke-17 – satu kedudukan di atas zon penyingkiran.
Eze bermain selama 84 minit dalam keputusan seri hujung minggu di Chelsea dan berlatih kelmarin menjelang perlawanan play-off Liga Konferens di rumah menentang Fredrikstad, dengan jurulatih Oliver Glasner menegaskan dia dan kapten Eagles, Marc Guehi, yang menjadi sasaran Liverpool, akan diturunkan dalam perlawanan Eropah itu.
“Sebelum perlawanan dengan Chelsea, saya fikir ramai antara awda terkejut bahawa Marc dan Ebs memulakan dan bermain hampir sepanjang perlawanan,” kata Glasner pada sidang media pra-perlawanan awal kelmarin.
“Kebanyakan daripada awda akan terkejut mereka akan memulakan sekali lagi esok disebabkan khabar angin yang tersebar. Namun mereka komited.” – AFP

