LONDON, 2 JAN – Arsenal merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana, Liverpool, kepada enam mata apabila Gabriel Jesus melanjutkan prestasi cemerlangnya dalam kemenangan 3-1 di Brentford, kelmarin.
Skuad kendalian Mikel Arteta digemparkan dengan jaringan separuh masa pertama oleh Bryan Mbeumo di Stadium Komuniti Gtech.
Bagaimanapun, Arsenal enggan menyerah dalam keadaan padang yang basah dan cuaca berangin di barat London apabila Jesus menyamakan kedudukan sebelum rehat.
Ia adalah gol keenam pemain Brazil itu dalam empat perlawanan terakhirnya selepas hanya menjaringkan satu gol dalam 20 perlawanan pertamanya musim ini.
Mikel Merino dan Gabriel Martinelli masing-masing menjaringkan gol sejurus selepas separuh masa untuk memastikan Arsenal melonjak ke tangga kedua di depan Nottingham Forest.
“Kami menang di stadium yang sukar menentang lawan yang bagus. Rekod yang mereka miliki di sini adalah luar biasa dan apabila kami ketinggalan 1-0, ia menjadikan keadaan lebih sukar,” kata Arteta.
“Kami terpaksa menangani situasi itu secara emosi. Kami amat klinikal dalam kotak penalti,” tambahnya.
Tidak termasuk kekalahan 5-1 ke atas Crystal Palace, The Gunners telah bergelut dalam empat perlawanan liga terakhir mereka dengan keputusan seri ketika menentang Fulham dan Everton diikuti dengan kemenangan tipis ke atas Ipswich.
Tetapi perlawanan Liga Perdana pertama Arsenal pada 2025 membuktikan bahawa mereka bersedia untuk bersaing dalam perebutan kejuaraan dengan Liverpool, yang mempunyai satu baki perlawanan di utara London. – AFP